Nilai jualan dagang borong dan runcit negara naik kepada RM142.7 bilion


PERDAGANGAN borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM142.7 bilion, meningkat 6.5% tahun ke tahun pada September 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DSOM).

DOSM menjelaskan nilai jualan menokok 0.1% berbanding Ogos 2023.

Bagi perbandingan suku tahunan, perdagangan borong dan runcit mencatatkan jualan bernilai RM424.9 bilion pada suku ketiga, tumbuh 6.8% tahun ke tahun.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan sebanyak 6.5% tahun ke tahun pada September 2023 disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 6.9% atau RM4.1 bilion kepada RM64.2 bilion.

“Perdagangan runcit juga berkembang dengan mencatatkan 5.9% atau RM3.4 bilion kepada RM61.1 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 7.0% atau RM1.1 bilion untuk berada pada RM17.5 bilion,” katanya dalam kenyataan mengenai Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit, Malaysia, September 2023 yang dikeluarkan pada Khamis.

Beliau berkata peningkatan marginal 0.1% berbanding bulan sebelumnya adalah disokong oleh perdagangan runcit yang berkembang 0.9% atau RM0.5 bilion, diikuti oleh perdagangan borong dengan 0.5% atau RM0.3 bilion.

Bagaimanapun, kenderaan bermotor merosot  3.6%, katanya.

Mohd Uzir berkata dari segi prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan 6.9% tahun ke tahun bagi perdagangan borong disumbangkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM2.0 bilion atau 8.6% kepada RM25.1 bilion.

Beliau berkata mengenai subsektor perdagangan runcit, kenaikan 5.9% tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 8.9% atau RM1.9 bilion kepada RM23.2 bilion.

“Pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 7.0% bagi subsektor kenderaan bermotor pada bulan ini dipacu oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang melonjak 17.2% atau RM0.7 bilion untuk merekodkan RM4.6 bilion.

“Ini diikuti oleh penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (18.6%) dan jualan kenderaan bermotor (3.8%),” katanya.

Ketua Perangkawan berkata bagi perbandingan bulanan, subsektor ini menguncup 3.6%, dipengaruhi oleh jualan kenderaan bermotor (-4.9%); jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motorsikal (-8.6%) serta jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (-1.2%).

Beliau berkata bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini merekodkan pertumbuhan 2.0% tahun ke tahun pada September 2023 berbanding 1.0% pada Ogos 2023.

Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini naik 0.3% berbanding bulan sebelumnya, katanya.

Mohd Uzir berkata bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada September 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.5%.

“Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (5.9%), perdagangan borong (5.7%) dan perdagangan runcit (3.8%).

“Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim, ia menurun 0.5% bulan ke bulan,” katanya. – Bernama, 9 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen