Tak adil bebankan taska elak kematian anak dalam kereta, kata pengusaha


Angie Tan

Pengendali taska dan tadika membantah rancangan Putrajaya memperkenalkan rangka kerja ketat memerlukan mereka hubungi ibu bapa jika anak tidak hadir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2023.

PENGENDALI serta guru taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman bimbingan kanak-kanak (tadika) membantah rancangan Putrajaya untuk memperkenalkan rangka kerja kawal selia ketat yang memerlukan mereka menghubungi ibu bapa sekiranya anak mereka tidak hadir pada hari tersebut.

Mereka berkata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri yang memberikan cadangan ini harus terlebih dahulu menggunakan pendekatan lembut dengan menggalakkan pusat dan guru ini melaporkan kejadian itu daripada memaksa mereka berbuat demikian mengikut undang-undang.

Presiden Persatuan Guru Prasekolah Kebangsaan Sally Ng memberitahu The Malaysian Insight jika cadangan ini dilaksanakan pemain industri akan menerima langkah-langkah untuk membendung peningkatan kes kematian kanak-kanak tertinggal di dalam kereta.

Nancy pada 13 November menekankan kepentingan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) untuk taska dan tadika berkata SOP yang dirombak itu memerlukan pengendali taska untuk segera menghubungi ibu bapa jika kanak-kanak tidak hadir bagi mencegah kemungkinan berlaku kesilapan atau perubahan rutin yang boleh menyebabkan kanak-kanak tertinggal di dalam kereta secara tidak sengaja.

Ng juga mempersoalkan mengapa taska, tadika dan guru mereka perlu mengambil sikap proaktif sedangkan ibu bapa harus bertanggungjawab terhadap kebajikan anak mereka.

“Mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya pada taska,” katanya.

Beliau berkata adalah sangat tidak adil untuk mengalihkan kesalahan kepada taska dalam kejadian malang itu.

“Kebanyakan orang pada umumnya tidak memahami betapa sibuknya taska pada waktu pagi.

“Tanggungjawab taska sejak mengambil alih menjaga kanak-kanak itu sudah besar, jadi kerajaan tidak seharusnya mengenakan langkah-langkah ini dan mengalihkan tanggungjawab itu kepada kami,” kata Ng.

Pengendali tadika dan pusat jagaan kanak-kanak berlesen Lydia Looi juga mengkritik cadangan SOP itu dengan mengatakan ia hanya mengalihkan kesalahan atas kematian di pusat jagaan dan bukannya ibu bapa.

“Kemalangan ini berlaku kerana kecuaian ibu bapa, jadi mereka yang perlu bertanggungjawab.

“Sebaliknya tanggungjawab diletakkan di pusat jagaan kanak-kanak,” katanya. – 23 November, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen