Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dibentang minggu depan


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said optimis bacaan kali pertama rang undang-undang itu dapat dibentangkan sebelum Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 ini menutup tirai pada 30 November. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2023.

PINDAAN Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 antaranya bagi menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia, dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata beliau optimis bacaan kali pertama rang undang-undang itu dapat dibentangkan sebelum Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 ini menutup tirai pada 30 November. 

“Selepas Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selesai, kami ada tiga hari untuk pembentangan rang undang-undang lain, jadi kami cuba juga pada sesi kali ini, ada masa untuk pastikan bacaan kali pertama dapat kami lakukan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kami tumpu sehingga Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selesai dan diluluskan Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pameran Hari Kanak-Kanak Sedunia sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 hari ini.

Pada masa sama, Azalina berharap semua pihak bersatu hati dalam hal dan isu berkaitan perlindungan serta hak kanak-kanak yang dibawa ke Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara.

“Saya berpendapat isu mengenai golongan rentan terutama kanak-kanak perlu dijadikan realiti dengan penyertaan ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak…Anda perlu bersatu padu demi kanak-kanak,” katanya. – Bernama, 20 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen