Baru gesa siasatan rasuah di sempadan didedahkan


Desmond Davidson

ADUN Ba Kelalan Sarawak Baru Bian menggesa pihak berkuasa negeri yang menyiasat dakwaan rasuah dalam kalangan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di lintasan sempadan dalam kawasannya mendedahkan hasil siasatan tersebut.

Sarawak membuka siasatan selepas Baru pada Jun tahun ini mendakwa kakitangan PGA yang mengawal sempadan terpencil Sarawak - Kalimantan meminta wang daripada warga Indonesia yang datang ke negeri itu.

Memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini Baru berkata ia susulan aduan dua pegawai daerah dari Long Bawan yang datang ke Sarawak bersama delegasi untuk menghadiri perayaan Lun Bawang.

Long Bawan ialah bandar terdekat dan terbesar di sempadan Indonesia.

Setiausaha Agung Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu berkata pegawai daerah Indonesia itu adalah pelawat sah yang mempunyai dokumen antara sempadan (Pas Lintas Batas) yang lengkap dan betul ketika melalui pemeriksaan.

Beliau berkata kakitangan yang bertugas meminta mereka RM200 hingga RM1,000.

Tambahnya, terdapat insiden pada masa lalu di mana anggota PGA itu didakwa meminta sehingga RM1,500.

Selain menuntut ‘bayaran wang’, Baru juga menekankan insiden di mana apabila keluar, kakitangan PGA akan merampas barang yang dibeli oleh pengunjung Indonesia di bandar Lawas.

Beliau memberitahu sidang DUN itu, salah seorang pegawai menyebut soal peraturan barang yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dibawa masuk ke Indonesia juga kelihatan berubah mengikut siapa yang mengawal sempadan.

Ia menambahkan kekeliruan, kata Baru.

“Ada kalanya barang tertentu dibenarkan, tetapi pada masa lain tidak dibenarkan. Terdapat banyak aduan mengenai kejadian seperti ini selama bertahun-tahun tetapi tiada tindakan diambil untuk menghentikannya,”.

“Amalan buruk ini memberikan persepsi negatif kepada jiran Indonesia terhadap Sarawak dan menghalang mereka daripada melawat kami,” dakwanya.

“Kita memerlukan orang yang berintegriti, jujur ​​dan ikhlas untuk mengawal pos sempadan negara. Pegawai korup yang membuli pelawat mesti dihukum seberat-beratnya untuk membersihkan PGA,” katanya. – 22 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen