SPRM tiada kuasa tentukan kelayakan calon untuk bertanding


Kata Azam, SPRM hanya menyiasat isu berkait rasuah atau kesalahan rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2023.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata pihaknya tiada kuasa untuk menentukan sama ada seseorang yang terpalit isu rasuah layak bertanding atau tidak dalam pilihan raya.

Beliau berkata kelayakan bertanding itu adalah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku pengawal atur urusan pilihan raya.

“Kami di SPRM hanya menyiasat isu berkait rasuah atau kesalahan rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Mengenai siapa boleh bertanding atau tidak itu terserah kepada SPR.

Setakat ini, saya tengok mereka yang dituduh di mahkamah pun SPR benarkan bertanding. Kami memang sentiasa bekerjasama dengan SPR, contohnya membuka bilik gerakan SPRM pada setiap pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi di akaun Facebooknya yang mempersoalkan bagaimana individu terlibat dalam kes rasuah boleh bertanding pada pilihan raya.

Mohd Puad dipercayai membuat hantaran itu dengan merujuk kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan semula selepas kemenangan Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya susulan elemen rasuah.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai perkembangan terkini dakwaan kes rasuah melibatkan dua pegawai kanan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar yang ditahan April lepas, Azam berkata pihaknya masih menunggu keputusan lanjut daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPP).

Beliau berkata SPRM sudah menyiapkan kertas siasatan kes itu dan telah menyerahkannya kepada TPP dua bulan lepas namun setakat ini pihaknya belum menerima maklumat terbaharu mengenainya.

Terdahulu, Sivakumar juga mengesahkan beliau dipanggil  SPRM bagi membantu siasatan kes berkaitan pengambilan pekerja asing itu.

Sivakumar turut dilaporkan media sebagai berkata kesemua pegawainya yang disiasat SPRM sudah ditamatkan kontrak bagi memastikan kementerian itu dapat berfungsi dengan lancar. – Bernama, 30 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen