Perkenal 'cukai lain' pilihan terakhir kerajaan, kata Steven Sim


Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim berkata kerajaan perlu menguruskan perbelanjaan dengan memberi tumpuan kepada subsidi bersasar dan minimumkan ketirisan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2023.

PUTRAJAYA mungkin memperkenalkan “cukai lain” untuk meningkatkan pendapatan negara, tetapi ia dilakukan hanya selepas habis semua cara yang ada, kata Steven Sim.

Timbalan menteri kewangan itu bagaimanapun berkata cukai bukan satu-satunya cara untuk meningkatkan hasil tambahan kepada negara, sambil menambah pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan membebankan rakyat.

Sim berkata penting bagi kerajaan untuk terlebih dahulu menguruskan perbelanjaannya dengan memberi tumpuan kepada subsidi yang disasarkan dan meminimumkan ketirisan.

“Daripada meminta B40 dan M40 membayar lebih cukai, bagi kita (kerajaan) pula, mari menangani kecekapan (dengan bertanya kepada diri sendiri) bagaimana kita boleh menguruskan sumber dan berbelanja dengan lebih cekap,” katanya dipetik portal berita Free Malaysia Today.

“Masih banyak lagi cara lain (tersedia untuk meningkatkan) hasil kerajaan. Kita tidak mulakan dengan (mencukai) rakyat. Kita mulakan dengan menangani bagaimana kerajaan menguruskan perbelanjaannya.

“Akan ada pengenalan e-invois (oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri) untuk meminimumkan pengelakan cukai. Terdapat juga langkah pencegahan rasuah seperti (memerlukan) tender terbuka. Semua ini menuju ke arah peningkatan pendapatan.

“Mari kita betulkan perkara ini dan dapatkan lebih banyak wang daripada ini dan pada masa yang sama, melaraskan kadar cukai untuk meningkatkan sedikit hasil. Dan semua cara ini telah digunakan, maka kita akan pertimbangkan (cukai lain) dan selepas itu berbincang mengenai GST,” tambah ahli Parlimen Bukit Mertajam itu.

Sim menegaskan sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk memperkenalkan semula GST, mendakwa ia hanya akan membebankan rakyat.

GST sebanyak 6% diperkenalkan pada 2015 di bawah perdana menteri ketika itu Najib Razak, tetapi dimansuhkan oleh bekas kerajaan Pakatan Harapan dan digantikan dengan sistem SST 6% semasa pada 2018.

Ketika membentangkan belanjawan 2024 pada 13 Oktober, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kadar SST akan naik kepada 8%, dengan makanan dan minuman serta telekomunikasi dikecualikan daripada kenaikan itu.

Di bawah sistem SST sedia ada, Putrajaya mengutip anggaran hasil sebanyak RM26.7 bilion dan RM27.9 bilion masing-masing pada 2020 dan 2021, berbanding RM44 bilion daripada GST pada 2017. – 22 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen