Putrajaya belum cadang perkenal semula GST, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sebarang perubahan polisi berkaitan cukai akan mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2023.

PUTRAJAYA belum bercadang untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan belum bercadang untuk mengembalikan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Sebarang perubahan polisi berkaitan cukai akan mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat,” katanya yang juga menteri kewangan dalam menjawab soalan di Dewan Rakyat, semalam.

Kerajaan juga sentiasa mengawasi kedudukan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah-langkah fiskal yang bersesuaian dengan keperluan jangka pendek dan sederhana, tambahnya.

Anwar menjawab soalan Ahli Parlimen Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang-PN) yang bertanya adakah kerajaan sedang berusaha mewujudkan semula GST serta mekanisme menangani kesannya terhadap harga barang.

Pengenalan semula GST berbangkit menjelang pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, yang kini sedang dibahaskan di Dewan Rakyat.

Awal tahun ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilapor berkata GST akan diperkenalkan semula “apabila tiba masanya”.

Dalam Belanjawan 2024, Anwar mengumumkan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada 6% kepada 8% namun tidak tertakluk kepada beberapa barang dan perkhidmatan, antaranya makan minum dan telekomunikasi. – 2 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen