Kadar inflasi Singapura 5.1 % pada November


Bermula 1 Januari 2023, GST Singapura akan berada pada 8.0%. – Gambar AFP, 23 Disember, 2022.

INFLASI teras Singapura berada pada 5.1 peratus bagi asas tahun ke tahun pada November, tidak berubah daripada Oktober, demikian menurut Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI).

“Ini kerana kenaikan kecil dalam kos perkhidmatan dan elektrik dan gas diimbangi oleh peningkatan mendadak kos barang runcit dan barangan lain serta makanan,” kata bank pusat itu dan MTI dalam satu kenyataan bersama hari ini. 

Menurut kenyataan itu, inflasi Semua Barang Indeks Harga Pengguna (IHP) juga kekal tidak berubah pada November berbanding Oktober, pada 6.7 peratus tahun ke tahun.

Inflasi Semua Barang IHP kekal tidak berubah apabila inflasi rendah bagi perkhidmatan dan elektrik dan gas diimbangi oleh inflasi tinggi bagi barang runcit dan barangan lain serta makanan.  

Pada masa yang sama, penurunan inflasi pengangkutan swasta dan penginapan adalah kecil.

Inflasfi keseluruhan kekal kukuh apabila inflasi teras tidak berubah manakala inflasi pengangkutan swasta dan penginapan menyederhana. 

Sementara itu, bagi asas bulanan, IHP Teras meningkat sebanyak 0.2 peratus dan Semua Barangan IHP naik sebanyak 1.0 peratus.

Menurut kenyataan itu, Inflasi Teras MAS diunjur kekal tinggi dalam tempoh beberapa suku akan datang sebelum menjadi perlahan pada separuh kedua 2023 apabila kekangan buruh domestik semakin mengendur dan inflasi global menyederhana.

Bagi keseluruhan 2022, inflasi Semua Barang IHP dijangka berada pada purata 6.0 peratus dan Inflasi Teras MAS pada 4.0 peratus.

Manakala pada 2023, mengambil kira semua faktor termasuk kenaikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),  inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjur masing-masing berada pada 5.5-6.5 peratus dan 3.5 - 4.5 peratus.

Tidak termasuk kesan transitori kenaikan GST, inflasi keseluruhan dan teras dijangka masing-masing berada pada 4.5-5.5 peratus dan 2.5-3.5 peratus.

Bermula 1 Januari 2023, GST Singapura akan berada pada 8.0 peratus.

Terdapat risiko kepada prospek inflasi termasuk kejutan baharu kepada harga komoditi dan inflasi luaran yang berlarutan lebih lama dari jangkaan, kata kenyataan itu.  – Bernama, 23 Disember, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen