Subsidi bersasar langkah terbaik pastikan bantuan sampai, kata timbalan menteri


Steven Sim (kanan) sebelum Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 13 Oktober lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2023.

PELAKSANAAN subsidi bersasar terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan adalah langkah terbaik bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar, kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim.

Beliau berkata pendekatan itu juga dapat mengelakkan ketirisan seperti yang berlaku sebelum ini apabila bukan warganegara mengambil kesempatan dengan turut menikmati subsidi hingga menyebabkan kerugian kepada negara.

Sim turut memberi jaminan subsidi bersasar itu tidak akan membebankan 90% rakyat Malaysia.

“Kita nak pastikan wang untuk subsidi digunakan untuk tempat yang betul… untuk golongan memerlukan tak kira B40 atau M40, jadi kita laksanakan subsidi bersasar.

“Penjimatan yang kita dapat daripada pelaksanaan subsidi bersasar ini kita akan salur balik, contohnya lebih banyak duit dalam bentuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bina lebih banyak sekolah, hospital serta menaik taraf klinik yang daif selain bantuan kepada industri perusahaan kecil sederhana (PKS),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Kampung Siaga 221 Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Bukit Teh di Bukit Mertajam hari ini, yang turut dihadiri Pengarah APM Pulau Pinang Ishak Mohd Radzi dan Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubok, Lee Khai Loon.

Sim bagaimanapun berkata, pelaksanaan kaedah itu akan dibuat secara berfasa, di samping merangka strategi dan kajian supaya impaknya tidak membebankan majoriti rakyat negara ini.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memaklumkan kerajaan menjangkakan program subsidi bersasar akan dapat dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun depan.

Ini selepas Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka melalui tempoh percubaan mulai bulan depan sebelum dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024 untuk kegunaan pengesahan maklumat peribadi.

Sementara itu, Sim berkata penubuhan Kampung Siaga bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan dan persediaan penduduk menghadapi bencana terutama banjir.

Sebagai persiapan juga, katanya kerajaan menerusi Belanjawan 2024 mengumumkan peruntukan kira-kira RM13 bilion untuk pelbagai projek termasuk rancangan tebatan banjir, naik taraf sistem perparitan, kolam takungan, pembaikan cerun, kelengkapan untuk agensi serta pusat pemindahan. – Bernama, 22 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen