Beijing-Washington elak terpalit kancah konflik tidak berkesudahan


DALAM peralihan fokus global terhadap krisis Timur Tengah di antara Israel dan Hamas, gelombang ancaman konflik di Indo Pasifik di Laut China Selatan dan Taiwan kekal membara.

Realiti semasa di zon pertikaian kian meruncing, dengan pertembungan kapal serta gerakan ketenteraan di udara dan di laut yang semakin mencetus kebarangkalian untuk kesilapan percaturan yang akan membawa kepada lembaran konflik serentak tiga serangkai membabitkan krisis Ukraine, Timur Tengah dan Indo Pasifik.

Kuasa Amerika Syarikat (AS) sekian lama diketengahkan sebagai keupayaan berterusan untuk memenangi dua konflik besar dunia secara serentak, satu tahap kapasiti kuasa hard power yang telah ditonjolkan dan dipelihara sejak Perang Dingin.

Namun, perubahan ketara geopolitik dunia serta kebangkitan mendadak kuasa ketenteraan China menggugat skala kapasiti kuasa Washington dalam memenangi dua penjuru konflik serentak dalam kadar yang selesa.

Lawatan Menteri Luar Wang Yi ke AS dijadikan sebagai titik tolak kepada percaturan untuk perjumpaan rasmi Biden-Xi dalam sidang Apec akan datang, namun ketegangan hubungan yang masih diwarnai oleh persengketaan ekonomi, teknologi, ketenteraan dan pengaruh soft power dan dominasi negara lain menghambat usaha dialog secara menyeluruh.

Pilihan raya presiden Taiwan pada tahun depan turut menjadi faktor, dengan kebimbangan prospek kemenangan calon DPP William Lai, yang mengekalkan pendirian lebih memihak kepada kepentingan penentuan sendiri dan demokrasi Taiwan.

Ini bakal mencetus lembaran baharu pertalian Taiwan dan China yang dicorak oleh perbezaan ketara ideologi dan status di antara parti DPP dan Kuomintang yang akan menentukan hala tuju jangka pendek kestabilan Selat Taiwan.

Ketegangan di Laut China Selatan baru-baru ini di sebalik krisis Timur Tengah, yang menonjolkan usaha berterusan Filipina untuk mempertahankan aset ketenteraan dan juga wilayahnya di zon pertikaian, menjadi pentas berangkai kepada implikasi campur tangan dan penglibatan kuasa Washington, yang terikat kepada perjanjian pertahanan dengan Manila.

Pelanggaran kapal Manila oleh Beijing bulan lalu serta insiden gerakan udara yang hampir menyaksikan pelanggaran jet pejuang Beijing dengan kapal udara pengebom B-52 Washington, menyukarkan usaha kedua-dua pihak untuk meneruskan rundingan untuk memperbaiki hubungan dan komunikasi ketenteraan yang dihentikan Beijing.

Pegawai ketenteraan tertinggi Pentagon bagi Indo Pasifik, Ely Ratner menyatakan percaturan berterusan Beijing yang berisiko dalam zon pertikaian seperti yang dicerminkan dalam tren dan kes berterusan gerakan berbahaya di udara dan di laut yang hampir menyebabkan tercetusnya konflik.

Perjumpaan Biden-Xi di San Fransisco dalam lingkungan persidangan Apec serta pertemuan khas selama empat jam mencorak lembaran baharu dalam percaturan hubungan Beijing-Washington yang sekian lama diwarnai gelombang dan alunan berbahaya selama hampir setahun sejak krisis belon udara dan juga ketegangan isu Taiwan dan peningkatan percaturan di Laut China Selatan dan wilayah lain.

Usaha berterusan dicerminkan dalam percubaan Washington sejak beberapa bulan lepas dalam membentuk domain baharu pertalian dua hala serta mencipta haluan memaksa Beijing mengembalikan tahap kepercayaan dan juga meneruskan rundingan dan hubungan komunikasi dua hala di tahap tertinggi, terutamanya dalam menyambung kembali komunikasi ketenteraan dua hala yang dihentikan Beijing sejak tahun ini.

Peralihan fokus untuk mendapatkan kerjasama dan sokongan Beijing untuk memastikan pertalian Beijing-Washington kekal terjamin dalam wadah tanggungjawab dan komitmen tinggi kedua-dua pihak untuk mengelakkan daripada terjerumus dalam kancah krisis lebih mendalam, dilihat semakin dipelopori oleh usaha Washington.

Ini dicerminkan dalam lawatan bersiri oleh individu berprofil tinggi Washington termasuk Blinken, Raimondo, Yellen dan juga pemain kritikal lain termasuk Bill Gates dan Gabenor California Gavin Newsom dalam rangkaian usaha untuk memberikan tekanan kepada Beijing untuk menerima pelawaan Washington.

Ia juga untuk memastikan ketersamaan dari segi jangkaan serta pemahaman dasar dan polisi terutama dalam percaturan ketenteraan supaya tidak tergelincir dalam gelumang cetusan konflik yang akan memberikan dampak langsung kepada kedua-dua ekonomi terbesar dunia ini serta pelaku global lain.

Usaha gigih akhirnya membuahkan hasil dalam perjumpaan Xi-Biden, di mana Beijing melalui Xi menyatakan pendiriannya China tidak berhasrat untuk memulakan sebarang bentuk konflik dengan mana-mana pihak termasuk Barat dan AS, sama ada melalui Perang Dingin mahupun perang sebenar.

Percaturan dan haluan orientasi yang ditonjolkan Xi ini juga dipacu realiti baharu struktur dan prospek ekonomi dalaman dan masa depan China.

Berdepan dengan pelbagai cabaran sistemik ekonomi yang semakin menggusarkan Beijing termasuk kemelut krisis hartanah dan beban hutang sektor infrastruktur seperti Evergrande dan Country Gardens.

Selain itu dilema berpanjangan krisis demografi yang menyaksikan kemelut ageing society serta produktiviti golongan muda yang semakin merudum dan krisis pengangguran, China memerlukan suntikan dan nafas baharu serta strategik dalam merangsang pemulihan ekonomi pasca pandemik.

Platform Apec menjadi pentas terbaik bagi China untuk memperkukuh matlamat serampang dua mata.

Pertama, untuk memberikan mesej jelas kepada Washington serta sekutu dan potensi seteru lain bahawa hasrat dan komitmen China adalah untuk membina kepercayaan dan tanggungjawab sebagai kuasa yang menyokong kestabilan dan keharmonian, sepertimana yang cuba ditonjolkan dalam perjumpaan dengan Biden.

Ini penting bagi Beijing untuk memperkukuh jaringan dan tahap rangkaian pengaruh serta kepercayaan terutamanya dalam kalangan negara Global South serta memainkan peranan lebih mendalam dalam krisis Timur Tengah.

Ini juga penting dalam memberikan gambaran jelas kepada Washington dan kuasa Barat lain Beijing kekal dengan tanggungjawab kuasa besarnya.

Langkah ini membuahkan pulangan kepada Beijing dalam meraih justifikasi dan kemenangan moral kepada Beijing yang sebelum ini berpihak kepada Washington.

AS sebelum ini meraih kelebihan strategik pengaruh dan justifikasi moral disebabkan oleh keengganan Beijing untuk menerima tuntutan dan tekanan Washington untuk memperbaiki jurang komunikasi dan perhubungan tertinggi ketenteraan.

Matlamat kedua dalam penampilan mesej baharu di San Francisco adalah bertujuan untuk memulihkan situasi dan desakan ekonomi China yang semakin terhimpit dengan kepincangan dalaman semasa dan jangka panjang, serta implikasi daripada sekatan ekonomi dan teknologi daripada Washington.

Sandaran Apec untuk meraih kembali pelaburan serta kepercayaan institusi kewangan dan ekonomi China menjadi objektif kritikal untuk memberikan gambaran sebenar serta promosi prospek ekonomi China yang cuba dijual oleh Xi sebagai melambangkan keterbukaan dan ketersediaan kepimpinan dan kerajaannya untuk mencorak budaya serta acuan pelaburan dan struktur ekonomi berlandaskan landskap baharu termasuk dalam bidang digital dan tenaga baharu.

Xi mengadakan sesi dialog serta ucapan kepada audiens yang terdiri daripada ketua industri serta institusi syarikat gergasi AS merangkumi segenap spektrum kewangan dan ekonomi dan tujahan hala tuju ekonomi dan kewangan baharu yang akan memberikan suntikan jangka panjang kepada pembaharuan ekonomi Beijing.

AS masih menjadi sandaran kritikal kepada Beijing dalam kesinambungan dan pertalian pasaran dan sumber eksport serta faktor penjana ekonomi dan pertumbuhan pemerkasaan dan peluang pekerjaan baharu yang dapat meredakan krisis demografi dan dilema ekonomi jangka pendek China.

Walaupun kapasiti kendiri dalam keupayaan untuk melonjak penguasaan dan penjanaan ekonomi serta kepakaran teknologi dan inovasi baharu Beijing tetap menjadi prioriti, Xi sedar walaupun terdapat pandangan dan teori pendirian autonomi Beijing dalam hala tuju sendiri akan dapat menguntungkan kapasiti geopolitiknya.

AS tetap memainkan faktor langsung dalam menjamin dan mencorak kelangsungan negara dan juga legitimasi kepimpinannya sendiri dalam menangani kemelut yang dihadapi, di sebalik usaha untuk mencipta arena dan acuan ekonomi dan pengaruh di bawah orbit Beijing dengan usaha memikat Global South dan juga usaha de-dollarisation.

AS masih menjadi kuasa dominan dunia dalam kedua-dua sektor ekonomi dan keselamatan, dan ini menjadi realiti dan tuntutan orientasi Beijing untuk mengekalkan polisi dan dasarnya untuk mengharapkan kepada keupayaan dan dominasi AS untuk memelihara kestabilan dan keselamatan maritim dan perdagangan antarbangsa yang menjadi nadi utama kepada kelangsungan ekonomi China yang bersandarkan kepada perdagangan antarabangsa.

Tanggungjawab hakiki Barat dan AS dalam mencipta dan memelihara sistem antarabangsa yang berlunaskan rules-based order dan juga penguatkuasaan undang-undang antarabangsa menjadi rencana dan sandaran utama semua pelaku global yang menjadi sebahagian daripada rangkaian ini dalam memberikan pulangan ekonomi, pembangunan dan jaminan keselamatan dan kedaulatan wilayah, di mana mereka sedar tentang kepentingan hakikat ini untuk menjamin kelestarian pulangan ekonomi dan pertahanan semua negara.

Walaupun Beijing kekal dengan usaha berfokus dan konsisten dalam memastikan matlamat dan harapan utama dalam mencapai Chinese Rejuvenation Dream menjelang 2049, ia sedar tentang keperluan untuk mencipta pertalian saling menguntungkan dengan Amerika dalam membantu perjalanan jauh China untuk mencapai matlamat tersebut.

Konflik langsung dan berskala besar dengan mana-mana kuasa lain pada waktu ini hanya akan memudaratkan kapasiti jangka panjang Beijing dan menghambat keupayaan untuk merealisasikan Chinese Dream 2049, satu risiko yang tidak akan diuji sepenuhnya oleh Xi atau pemimpin akan datang tanpa mengira kos dan dampak menyeluruh akan datang. – 21 November, 2023.

* Collins Chong Yew Keat adalah penganalisis Strategi dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen