Segera bentang pindaan Perlembagaan isu kerakyatan anak, kata kumpulan


Noel Achariam

Penyelaras Kempen Family Frontiers Bina Ramanand berkata mereka mahu pindaan Perlembagaan bersifat positif yang memberi kesaksamaan jantina kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara beribukan warganegara Malaysia diteruskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2023

PUTRAJAYA perlu menyegerakan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang akan memberi hak kepada wanita warganegara Malaysia mendapatkan kerakyatan untuk anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara melalui kuat kuasa undang-undang dan membentangkannya secara bebas, kata kumpulan masyarakat sivil.

Penyelaras Kempen Family Frontiers Bina Ramanand berkata dengan berbuat demikian, kerajaan meningkatkan peluang untuk pengundian di Parlimen sekali gus menunaikan janji yang dimeterai mereka.

“Ia akan menandakan satu langkah penting ke arah kesaksamaan jantina dan menangani keperluan untuk menjaga serta melindungi hak wanita warganegara Malaysia dan anak-anak mereka,” katanya.

Pada masa ini hanya kanak-kanak yang lahir di luar negara berbapakan warganegara Malaysia dan berkahwin dengan pasangan asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.

Kerajaan kini bersetuju untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara beribukan warganegara Malaysia dan berkahwin dengan warga asing diberikan kerakyatan secara automatik.

Bina berkata mereka mahu pindaan bersifat positif yang memberi kesaksamaan jantina kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara beribukan warganegara Malaysia diteruskan.

“Bagaimanapun, kami berpegang teguh pada prinsip bahawa pendekatan kerajaan terhadap isu kerakyatan haruslah menyeluruh dan adil.”

Pada 6 November lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memberi penerangan kepada ahli Parlimen penyokongnya mengenai cadangan pindaan Perlembagaan berhubung pemberian taraf kerakyatan.

Beliau berkata Majlis Raja-raja sudah mengambil pendirian berhubung pindaan itu.

“Ada had terhadap apa yang boleh kita lakukan. Selepas perbincangan, sebarang pindaan Perlembagaan dalam isu kerakyatan perlu mendapat perkenan Majlis Raja-raja.

“Jadi Majlis Raja-raja akan mengambil pendirian tertentu mengenainya, dan kita perlu menghormatinya. Kita perlu menjelaskan kepada ahli Parlimen penyokong kerajaan,” katanya.

Putrajaya sudah mempersembahkan pindaan Perlembagaan kepada Majlis Raja-raja bagi menyelesaikan isu kerakyatan yang melanda kanak-kanak dilahirkan di luar negara beribukan warganegara Malaysia dan berkahwin dengan warga asing.

Bina berkata adalah penting untuk kerajaan menyegerakan pindaan yang akan memberi hak kepada wanita warganegara Malaysia mendapatkan kerakyatan untuk anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

“Ini mesti diasingkan daripada siri pindaan regresif lain dan dibentangkan di Parlimen, jangan berlengah-lengah lagi.

“Kelewatan ini, mengakibatkan ibu warganegara Malaysia akan kekal dalam situasi tidak menentu.”

Beliau turut memuji usaha Kementerian Dalam Negeri dalam meluluskan 11,000 permohonan taraf kerakyatan.

“Bagaimanapun, terdapat lebih 100,000 permohonan yang masih belum diselesaikan, di mana kebanyakannya membabitkan kanak-kanak yang sangat memerlukan taraf kerakyatan dan akses kepada hak asasi.” – 21 November, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen