Tak perlu gugur tuntutan Malaysian Malaysia, kata DAP


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata slogan Malaysian Malaysia merupakan sebahagian perlembagaan parti yang tidak wajar disentuh oleh parti dalam kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2023.

DAP menegaskan tidak akan menggugurkan slogan Malaysian Malaysia yang kini menjadi sasaran serangan para pemimpin dalam gabungan parti kerajaan perpaduan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dilaporkan berkata, slogan Malaysian Malaysia itu merupakan sebahagian perlembagaan parti yang tidak wajar disentuh oleh parti gabungan.

Laporan portal Malaysiakini menyebut, semua parti sudah pun berjanji dan bersetuju untuk tidak menyentuh perkara prinsip serta perlembagaan anggota gabungan.

Loke berkata isu dibangkitkan pemimpin MCA dan Umno itu sudah pun dipersetujui Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi.

“Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri sudah berpuas hati dengan penjelasan kita sebelum (BN) bergabung dengan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.

“Peruntukan dalam perlembagaan DAP ialah beberapa perkara asas yang menjadi kebimbangan kepada orang Melayu sudah saya jelaskan.

“DAP mendukung prinsip terbabit termasuk kedudukan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya seperti dikutip.

Loke seterusnya memohon agar isu tersebut tidak lagi dipanjangkan lagi kerana bimbang ia akan mencipta polemik dan menjejaskan keyakinan masyarakat ke atas kerajaan.

Cabaran supaya DAP menggugurkan tuntutan untuk Malaysian Malaysia dibangkitkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Nur Jazlan Mohamed dan Naib Presiden MCA Ti Lian Ker.

Konsep Malaysian Malaysia diperjuangkan DAP itu antara lain berhasrat untuk menghapuskan sistem kuota bumiputera.

Perkara itu dibangkitkan ekoran prestasi buruk parti Umno dalam meraih sokongan orang Melayu dalam pilihan raya negeri pada bulan lalu.

Rabu lalu, Nur Jazlan menuntut dasar DAP itu diubah untuk membolehkan parti tersebut diterima pengundi Melayu.

Ti pula dalam kenyataannya semalam menggesa DAP mengakui kesilapan dengan tuntutan Malaysian Malaysia itu dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Umno hanya berjaya menang 19 daripada 108 kerusi negeri ditandinginya dalam PRN yang berlangsung 12 Ogos lalu.

Kebanyakan kerusi tersebut disapu Perikatan Nasional (PN). Gabungan tersebut menang 146 kerusi dengan menguasai seluruh Terengganu dan mengekalkan Kelantan serta Kedah dengan majoriti besar.

PN turut berjaya menafikan penguasaan dua pertiga PH di Selangor dan menang hampir semua kawasan majoriti Melayu Pulau Pinang.

DAP bagaimanapun tetap cemerlang berbanding parti lain dalam PH dengan kadar kemenangan 97.9% iaitu 46 daripada 47 kerusi DUN yang ditandingi dalam PRN itu. – 2 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen