BEKAS Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff selesai memberi keterangan kepada polis berkaitan kes video perbualan mirip dirinya dengan seorang kakitangan J-Kom.
Beliau yang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 2 petang, selesai memberi keterangan pada 5.25 petang.
Ketika ditemui media selepas selesai memberi keterangan, Agus berkata beliau mendedahkan identiti individu digelar “Mr H” yang dikaitkan dengan kes berkenaan dalam keterangannya kepada polis, namun beliau enggan mendedahkannya kepada media.
“Saya tidak mahu komen perkara ini (pendedahan identiti ‘Mr H’), saya serahkan siasatan kes ini kepada polis,” katanya.
Agus berkata beliau juga membuat satu lagi laporan polis hari ini terhadap pemilik akaun TikTok “Raja Petra” susulan penularan satu video TikTok yang mendedahkan maklumat peribadi beliau.
Beliau berkata laporan polis itu dibuat kerana maklumat peribadinya yang didedahkan melalui video TikTok akaun “Raja Petra” itu boleh membahayakan keselamatan diri dan keluarganya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama mengesahkan Agus selesai memberi keterangan di IPD Kajang.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan pula ketika dihubungi berkata kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Agus dengan seorang individu lain.
Agus pada sidang medianya Jumaat lepas di sebuah hotel di Bangi dekat Kajang, mendakwa video itu disunting dan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan. – Bernama, 20 November, 2023.
Komen