PAS anggap kritikan sebagai sesat dan jahat dan tidak lagi lihat rasuah sebagai perkara jijik, kata Mohammad Agus.
PAS perlu ditolak kerana mengamalkan politik kebencian dan tidak lagi memerangi rasuah, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohammad Agus Yusoff.
Bekas pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, PAS kini berubah sama sekali dari perjuangan asal memperjuangkan keadilan Islam dan keadilan sosial.
Malah PAS kini turut memperjuangkan isu kaum dan bangsa walaupun perkara itu sebelum ini dianggap amalan assabiyah yang perlu ditolak.
“Pelik sungguh PAS ini, hukumnya berubah cepat. Lebih pelik lagi pengikutnya dan pentaksubnya ada dalam kalangan professional dan cerdik pandai,” kata Mohammad Agus.
Beliau berkata demikian selepas dicemuh pemimpin PAS apabila selepas membangkitkan isu perkhidmatan bekalan air, kutipan sampah dan infrastruktur di negeri dikuasai PAS, Kelantan.
“Saya sungguh tidak selesa dengan politik PAS sekarang. Kita tegur dan kritik, dianggap sesat dan jahat. Dahulu PAS lihat rasuah itu jijik, kini PAS lihat rasuah itu derma.
“Politik PAS tidak ada lagi kasih sayang. Yang ada hanyalah kebencian bagi mereka yang berbeza dengannya. Menyokong PAS mereka janjikan syurga dan menentang PAS mereka ugut dengan neraka,” katanya.
Kecaman itu muncul selepas beliau membangkitkan mengenai mutu bekalan air, jalan sempit dan berlubang serta sampah-sarap yang berlonggok di merata-rata kawasan di Kelantan.
Perkara itu dilihat sewaktu beliau pulang menyambut Hari Raya di Kelantan merupakan perkara yang berulang kali berlaku, kata Mohammad Agus.
Tambahnya, pemimpin parti itu juga kini hanya membangkitkan retorik agama, dan memperkudakan agama untuk berkuasa, katanya lagi dalam kenyataan disiarkan di Facebook.
“Nampak kegelojohan PAS memanipulasikan Islam untuk memburu kekuasaan.
“Sebarang perbezaan pendapat dengan pandangannya akan diserang secara berjemaah. Serangan tersebut tentunya penuh emosi, tanpa adab dan akhlak.
“Kita akan diberikan pelbagai gelaran jelek. Karakter kita dicemarkan. Kekuatan mental kita dilumpuhkan. Kita dituduh menolak Islam,” katanya.
Oleh itu, amalan politik PAS seperti itu perlu ditolak, kata Mohammad Agus lagi.
“Saya harap sangat anak muda dan pengundi yang mahukan negara kita maju dan harmoni menolak politik sebegini. Negara kita perlu aman untuk rakyatnya hidup sejahtera,” katanya.
Anjuran itu juga dibuat sewaktu tumpuan politik terarah ke atas kempen pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada pertengahan tahun.
Selain Kelantan, pilihan raya itu juga akan berlangsung di Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.– 26 April, 2023.
Komen