Bekas CEO MBI Kedah tidak mengaku minta, terima rasuah kes lombong REE


BEKAS ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini terhadap dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan usaha sama perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah pada pada Mei lepas.

Muhamad Sobri Osman, 63, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rohatul Akmal Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM4 juta daripada John Abad Pe sebagai dorongan untuk membantu syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd menjalankan usaha sama perlombongan REE di Kedah melalui satu memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat itu dengan MBI Kedah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Hatyai, Thailand pada 20 Mei lepas.

Bagi pertuduhan itu, pihak pendakwaan memohon untuk mengguna pakai peruntukan di bawah Seksyen 66, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukan mana-mana warganegara dan pemastautin tetap Malaysia yang melakukan kesalahan di bawah akta itu di luar negara boleh didakwa di negara ini.

Bagi pertuduhan kedua pula, Muhamad Sobri didakwa menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM1 juta daripada John Abad Pe melalui Liyana Mamat@Khalid sebagai dorongan untuk membantu syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd untuk menjalankan usaha sama perlombongan REE di Kedah melalui MoU antara syarikat itu dengan MBI Kedah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di perkarangan tempat letak kereta Wisma Darul Aman, Jalan Tunku Bendahara di Alor Setar pada 29 Mei lepas.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Muhamad Sobri didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, manakala pihak pembelaan memohon jaminan sebanyak RM60,000 dikenakan bagi kedua-dua pertuduhan berikutan tertuduh tidak lagi bekerja dan perlu menyara isteri dan seorang anak yang masih belajar.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah, melapor diri pada minggu pertama setiap bulan ke pejabat SPRM berhampiran dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha Rahmat dan Muhammad Asnaf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam Ibrahim Ismail dan Mohammed Zamri Ibrahim. – Bernama, 20 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen