Bekas KP Miros mengaku tidak bersalah palsukan dokumen


BEKAS ketua pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas empat pertuduhan memalsukan dokumen sebut harga bagi beberapa kenderaan dalam ujian pelanggaran enam tahun lepas.

Khairil Anwar Abu Kassim, 47, didakwa memalsukan dokumen sebut harga daripada beberapa syarikat bertujuan bagi pembekalan 16 kereta dari Thailand ke Makmal Ujian Perlanggaran Miros di Bukit Katil, Ayer Keroh, Melaka, dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan untuk menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Taman Kajang Sentral, Kajang pada 24 Julai 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya dibenarkan diikat jamin RM20,000.

“Tertuduh bersedia menyerahkan pasport kepada mahkamah dan lapor diri (di pejabat SPRM berdekatan). Selain itu, tertuduh memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Putrajaya pada hari pertama bekerja pada setiap bulan.

“Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menghadiri setiap sebutan dan bicara kes tersebut serta dilarang berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan secara langsung dan tidak langsung.

“Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan mengakses mana-mana komputer dan dokumen di tempat kerja (Miros),” katanya.

Mahkamah menetapkan 21 November untuk sebutan semula kes. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen