Lokman Adam bebas tuduhan sebar berita palsu berkait Covid-19


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahli MKT Umno Lokman Noor Adam di akhir kes pendakwaan.

MAHKAMAH Sesyen hari ini melepas dan membebaskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno Lokman Noor Adam daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual mengenai virus Covid-19, dua tahun lepas.

Hakim N Priscilla Hemamalini membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lokman Noor, 50, di akhir kes pendakwaan.

“Sehubungan itu, OKS (orang kena saman) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini,” katanya. 

Pada 1 Oktober 2021, Lokman Noor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus Covid-19.

Penyebaran melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil “Lokman Adam” itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.55 malam, 3 Mei 2021.

Rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di Kuala Lumpur pada 4.40 petang, 9 Mei 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seramai enam saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 6 Mac lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh manakala Lokman Noor diwakili peguam Logen Eskander.

Semasa ditemui pemberita selepas prosiding, Lokman Noor berkata beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya.

“Saya bersyukur dan gembira, ini kes kedua saya dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Pada 23 Jun lepas, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Lokman Noor daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman Facebook miliknya berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin pada 2021. – Bernama, 7 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen