Joseph Boakai menang pilihan raya presiden Liberia


Boakai memenangi 50.89% undi setelah hampir 99.58% pusat pengundian dikira. – Gambar AFP, 18 November, 2023.

PRESIDEN Liberia George Weah mengaku kalah pada Jumaat kepada pesaingnya Joseph Boakai yang juga bekas naib presiden dalam pilihan raya penentuan yang berlangsung sengit.

Boakai memenangi 50.89% undi setelah hampir 99.58% pusat pengundian dikira, menurut keputusan pilihan raya pada 14 November yang diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Davidetta Browne Lansanah.

Weah menerima 49.11% undian, lapor Agensi Anadolu.

“Keputusan yang diumumkan malam ini walaupun tidak muktamad, menunjukkan Joseph Boakai mendahului dan kami tidak boleh mengatasinya. Oleh itu, beberapa minit lalu, saya mengucapkan tahniah kepada bakal Presiden Joseph Boakai atas kemenangannya,” kata Weah.

Weah mengakui pilihan raya itu mendedahkan berlakunya perpecahan ketara di negara berkenaan.

“Semasa beralih kepada pentadbiran baharu, kita mesti berwaspada terhadap bahaya perpecahan, dan mesti bekerjasama untuk mencari titik persamaan. Kini perpaduan adalah yang terpenting demi cinta kepada ‘Mama Liberia’,” katanya.

Awal Jumaat, badan pemilih itu tidak mengisytiharkan pemenang selepas mengabaikan keputusan daripada 25 pusat pengundian.

Pengundian baharu dijadualkan semula di kesemua pusat itu pada Sabtu.

Pilihan raya penentuan diadakan selepas tiada seorang pun calon yang mencapai tahap 50+1 yang diperlukan untuk memenangi pusingan pertama pengundian pada 10 Oktober.

Weah, 57, bekas legenda bola sepak memegang jawatan presiden sejak Januari 2018.

Boakai pula berkhidmat sebagai naib presiden dari 2006 hingga 2018 di bawah bekas Presiden Ellen Johnson Sirleaf. – Bernama, 18 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen