THARMAN Shanmugaratnam dipilih sebagai ketua negara baru Singapura selepas memenangi pilihanraya presiden dengan majoriti yang ketara pada Jumaat.
Mantan menteri kanan itu menerima 70.40% undi sementara bekas ketua pegawai pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd Ng Kok Song (15.72%) dan bekas ketua eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd Tan Kin Lian (13.88%).
Keputusan rasmi diumumkan oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) selepas tengah malam tadi. Keputusan itu tidak jauh berbeza daripada keputusan kiraan sampel yang diumumkan lebih awal sekitar pukul 10.45 malam.
Di Facebook, Tharman berkata beliau “benar-benar berasa terharu dengan sokongan yang kuat” yang diberikan oleh pengundi dalam pilihan raya presiden itu.
“Saya percaya pada undi yang diberikan kepada saya dan apa yang saya perjuangkan adalah keyakinan yang tidak bagi Singapura sendiri, dan bagaimana kita boleh maju bersama dan saling tolong menolong kepada rakyat Singapura.
Beliau juga berterima kasih kepada calon-calon lain yang telah “mengembleng sepenuhnya usaha dan tenaga dalam kempen mereka, dan menjadikan pertandingan yang penuh bermakna”.
Sementara itu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Tharman dan berkata beliau yakin presiden baharu itu akan menjalankan tugasnya dengan cemerlang.
“Sebagai ketua negara, beliau akan mewakili kita di dalam dan luar negara, serta melaksanakan kuasa pengawasan, termasuk ke atas rizab negara dan pelantikan penting,” kata Lee dalam satu kenyataan yang dipaparkan di laman web Pejabat Perdana Menteri awal hari ini.
Perdana menteri juga mengucapkan terima kasih kepada kesemua tiga calon yang tampil bertanding dalam pilihan raya presiden itu.
Seorang negarawan dan ahli ekonomi Singapura, Tharman, 66, berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri Singapura antara 2011 dan 2019, dan sebagai menteri kanan dalam Kabinet antara 2019 dan 2023.
Peranan lain beliau termasuklah pengerusi Pihak Berkuasa Kewangan Singapura antara 2011 dan 2023, dan timbalan pengerusi GIC antara 2019 dan 2023.
Sebagai bekas ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang memerintah, beliau merupakan ahli Parlimen yang mewakili kawasan Taman Jurong dalam GRC Jurong antara 2001 dan 2023.
Beliau membuat penampilan politik pertamanya dalam pilihan raya umum 2001 dan dipilih semula ke Parlimen mengikut empat kali dalam pilihan raya umum berikutnya pada tahun 2006, 2011, 2015 dan 2020.
Pada Julai 2023, Tharman mengundurkan diri daripada Parlimen dan semua jawatan dalam kerajaan serta keluar PAP untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.
Setakat 8 malam Jumaat, 2,480,760 rakyat Singapura membuang undi di 1,264 pusat mengundi . Sebanyak 50,152 undi rosak. – Bernama, 2 September, 2023.
Komen