PENGARAH hospital terbesar Gaza berkata 179 orang, termasuk bayi dan pesakit yang meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU), telah dikebumikan dalam kubur besar di kompleks itu.
“Kami terpaksa mengebumikan mereka dalam kubur besar,” kata pengarah hospital Al-Shifa, Mohammad Abu Salmiyah, sambil menambah tujuh bayi dan 29 pesakit rawatan rapi adalah antara mereka yang dikebumikan selepas bekalan minyak hospital kehabisan.
“Terdapat mayat bersepah di kompleks hospital dan tiada lagi bekalan elektrik di bilik mayat,” katanya, kerana tiada bahan api memasuki Semenanjung Gaza sejak perang Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober lalu.
Pada Selasa, seorang lelaki dan seorang wanita meninggal dunia di ICU menjadikan jumlah orang yang telah meninggal dunia di unit itu kepada 29 orang, kata Salmiyah.
Seorang wartawan di dalam hospital yang bekerjasama dengan AFP berkata bau busuk mayat yang reput menular di kemudahan itu.
Namun katanya pertempuran malam dan serangan udara dari Isnin hingga Selasa adalah kurang sengit berbanding malam sebelumnya.
Kereta kebal Israel telah mengepung hospital Al-Shifa, yang menurut Israel menyembunyikan pusat perintah bawah tanah yang digunakan oleh Hamas. Ia adalah tuduhan yang dinafikan kumpulan pejuang Palestin. – AFP, 14 November, 2023.
Komen