Peserta triatlon wanita dikejarkan ke hospital disyaki akibat keletihan


SEORANG peserta wanita dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha di Langkawi disyaki mengalami keletihan semasa sedang melakukan disiplin renang dalam satu kejohanan triatlon yang berlangsung hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata wanita berusia 44 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur itu dibawa ke hospital menaiki ambulans.

“Wanita itu kelihatan tidak bermaya ketika sudah hampir tiba ke garisan penamat bagi disiplin renang dan dia telah diberikan rawatan awal di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu beliau berkata, seorang peserta lelaki yang turut keletihan pula turut diberikan rawatan awal di lokasi kejohanan berkenaan yang berlangsung di Pantai Kok.

Dalam kejadian berasingan, beliau berkata seorang penonton lelaki mengalami kecederaan ringan kerana terjatuh ketika menyaksikan kejohanan di lokasi sama. – Bernama, 7 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen