Kereta kebal Israel kepung hospital di Gaza


Kereta kebal dan kenderaan berperisai Israel dilihat berada beberapa meter daripada hospital Al-Shifa di Gaza City. – Gambar EPA, 14 November, 2023.

KERETA kebal Israel berhimpun berhampiran pintu hospital utama Gaza di mana rakyat Palestin terperangkap dalam keadaan teruk pada Selasa ketika Presiden AS Joe Biden mendesak Israel untuk melindungi kompleks itu.

Selepas beberapa hari serangan udara di sekitar hospital Al-Shifa di Gaza City, saksi berkata kereta kebal dan kenderaan berperisai dilihat berada beberapa meter daripada kemudahan terkepung itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu percaya mungkin lebih daripada 10,000 orang—pesakit, kakitangan dan orang awam yang dipindahkan—mungkin berada di dalam dan tidak dapat melarikan diri kerana pertempuran sengit berdekatan.

Terdapat laporan menyatakan bayi pramatang mati akibat kekurangan elektrik dan pesakit berdepan tembakan, pakar bedah yang bekerja untuk Doktor Tanpa Sempadan berkata keadaan dalam hospital telah menjadi “sangat teruk”.

“Kami tidak mempunyai elektrik. Tiada air di hospital. Tiada makanan,” kata doktor itu, yang tidak dinamakan oleh organisasinya. 

“Ia tidak berperikemanusiaan.”

Israel menuduh pejuang Hamas menggunakan terowong di bawah hospital sebagai pusat arahan, dan menjadikan orang sakit dan cedera sebagai perisai manusia. Namun dakwaan itu dinafikan Hamas.

Kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata serangan Israel telah membunuh 11,240 orang, kebanyakannya orang awam dan beribu-ribu kanak-kanak.

Israel berkata 46 daripada tenteranya telah terbunuh dalam pertempuran di Gaza. – AFP, 14 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen