Aliran trafik di lebuh raya perlahan petang ini


Trafik turut perlahan dan sesak dari Genting Sempah menuju ke Plaza Tol Gombak akibat aliran trafik tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2023.

ALIRAN trafik di lebuh raya utama menuju ke Lembah Klang dilaporkan perlahan dan sesak setakat jam 5 petang ini, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Jurucakap LLM ketika dihubungi berkata, trafik perlahan sepanjang 23.9 kilometer di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dari KM74.7 hingga KM50.8 menghala ke Kuala Lumpur berikutan pertambahan kenderaan.

“Trafik turut perlahan dan sesak dari Genting Sempah menuju ke Plaza Tol Gombak akibat aliran trafik tinggi,” katanya.

Beliau berkata aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dari utara menuju Lembah Klang juga perlahan dan sesak ditambah dengan keadaan cuaca yang hujan di beberapa tempat.

“Situasi sama juga berlaku dari arah selatan menuju ke Kuala Lumpur dan tiada lorong yang terhalang serta pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati ketika memandu,” katanya.

Sementara itu, LLM dalam hantaran menerusi laman X memaklumkan terdapat kejadian banjir kilat di KM19 dari susur Lebuhraya Persekutuan ke Bangsar dengan hanya satu lorong dibuka dan trafik dilaporkan perlahan.

Selain itu, trafik juga perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah utara dari Bandar Gamuda Cove ke Bandar Saujana Putra disebabkan aliran trafik tinggi dan cuaca hujan. – Bernama, 13 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen