Lebuhraya Karak laluan Lentang ditutup malam ini 


ANIH Berhad menasihatkan pengguna untuk merancang perjalanan dan jika perlu, mempercepatkan atau menangguhkan perjalanan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2022.

PENGENDALI  Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1), ANIH Berhad akan menutup sebahagian Lebuhraya KLK selama 30 minit bermula 11 malam ini bagi memudahkan kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi memaklumkan laluan di kedua-dua arah Lebuhraya KLK akan ditutup sepenuhnya dari Km 55.35 hingga Km 55.85 (Lentang) bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Selepas 11.30 malam, beliau berkata hanya laluan lorong kiri akan dibuka di kedua-dua arah kepada pengguna dan pihaknya menjangkakan laluan dibuka sepenuhnya di semua arah pada 5 pagi Selasa (28 Jun).

“Penutupan ini bertujuan memudahkan laluan jentera berat yang terlibat dengan pembinaan terowong ECRL di Genting. ANIH Berhad ingin menasihatkan pengguna untuk merancang perjalanan dan jika perlu, mempercepatkan atau menangguhkan perjalanan mereka,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Selain itu, pengguna juga diingatkan untuk memandu dengan berhemah dan mematuhi arahan petugas di lokasi serta memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan optimum sebelum memulakan perjalanan. – Bernama, 27 Jun, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen