MENDAPAN tanah yang muncul di bahagian Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berhampiran Bentong mungkin berpunca daripada kerja-kerja Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kawasan itu, kata Alexander Nanta Linggi.
Menteri kerja raya itu berkata siasatan awal mendapati terdapat kerja-kerja pembinaan terowong bawah tanah ECRL merentasi lebuh raya di lokasi terlibat.
“Siasatan awal mendapati terdapat kerja-kerja pembinaan terowong bawah tanah ECRL merentasi lebuh raya di lokasi terlibat. Saya telah mengarahkan jabatan dan agensi yang terlibat supaya memberikan saya kemaskini kejadian ini kepada saya dari semasa ke semasa,” katanya menerusi Twitter hari ini.
Menteri itu berkata kejadian yang berlaku pada 8.34 malam itu tidak melibatkan sebarang kejadian tidak diingini dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Mendapan tanah di Km66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, yang menjejaskan kedua-dua arah berhampiran Bentong, mengakibatkan lebuh raya di lokasi itu ditutup.
Lebuhraya Pantai Timur dalam catatan di laman Facebook malam tadi meminta pengguna lebuh raya dari Kuantan ke Kuala Lumpur keluar di persimpangan Bentong Timur dan masuk semula di persimpangan Bentong Barat.
“Bagi pengguna dari Kuala Lumpur ke Kuantan diarahkan keluar ke persimpangan Bentong Barat dan masuk semula ke persimpangan Bentong Timur,” menurut catatan yang dimuat naik malam tadi.
Terdahulu, beberapa gambar tular di media sosial menunjukkan permukaan jalan mempunyai lubang besar akibat pemendapan tanah di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.– 26 Julai, 2023.
Komen