Lukisan Monet dijual AS$74 juta dalam lelongan di New York


Lukisan bunga teratai oleh artis Perancis, Claude Monet mencecah AS$74 juta pada lelongan seni musim luruh. – Gambar EPA, 11 November, 2023.

LUKISAN bunga teratai oleh Claude Monet dijual pada harga AS$74 juta (RM347.25 juta), sebagai sebahagian daripada lelongan seni musim luruh.

“Le bassin aux nympheas” mendahului unjuran harga jualan sebanyak AS$65 juta apabila ia dijual oleh pusat lelongan Christie’s di New York pada malam Khamis.

Antara lelongan tertinggi lain termasuk karya ekspresionis abad ke-20 Richard Diebenkorn “Recollections of a Visit to Leningrad” yang dijual pada harga AS$46 juta, manakala “Untitled” karya rakan Amerika Joan Mitchell berharga AS$29 juta.

Tiga lukisan Paul Cezanne juga dijual, termasuk “Fruits et pot de gingembre” dengan harga hampir AS$39 juta.

Pada Rabu, “Woman with a Watch” karya Pablo Picasso memperoleh AS$139.3 juta, harga kedua tertinggi yang pernah dicapai bagi karya artis itu.

“Femme a la montre,” lukisan tahun 1932 yang menggambarkan seorang daripada rakan artis itu iaitu pelukis dari Perancis, Marie-Therese Walter, dinilaikan lebih AS$120 juta dalam acara lelongan anjuran Sotheby’s di New York.

Jualan lelongan musim luruh, yang bermula Selasa dan berakhir Rabu depan, setakat ini menyaksikan jualan AS$748 juta di Christie’s dan lebih AS$400 juta di Sotheby’s. – AFP, 11 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen