Wartawan Rusia lelong pingat Hadiah Nobel bantu kanak-kanak Ukraine


Pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2021 Dmitry Muratov bersama pingat emas yang dimenanginya tahun lalu. – Gambar EPA, 21 Jun, 2022.

KETUA pengarang akhbar Rusia Novaya Gazeta, Dmitry Muratov melelong pingat emas Hadiah Nobel Keamanan yang dimenanginya tahun lalu untuk disalurkan kepada tabung bagi membantu kanak-kanak yang hilang tempat tinggal akibat perang di Ukraine. 

Pingat itu berjaya dibida pada harga AS$103.5 juta oleh seorang individu secara dalam talian pada acara lelongan anjuran Heritage Auctions di New York pada Isnin.

Hasil jualan akan disalurkan terus kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dalam usaha membantu kanak-kanak di Ukraine.

Muratov menang Hadiah Nobel Keamanan pada Oktober tahun lalu bersama wartawan penyiasatan Filipina Maria Ressa, sebagai penghormatan atas usaha mereka memperjuangkan kebebasan bersuara.

Muratov adalah antara sekumpulan wartawan Rusia yang mengasaskan Novaya Gazeta pada 1993 selepas kejatuhan Soviet Union. – AFP, 21 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen