Pakar pelaburan jangka tak banyak hartanah akan dilelong


Lebih banyak unit pangsapuri perkhidmatan, SOHO, SOFO, dan SOVO dijangka akan dilelong pada separuh pertama 2021, kata pakar pelaburan hartanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2021.

LELONGAN hartanah tidak sebanyak seperti yang dijangkakan tahun lalu semasa negara mula dilanda pandemik Covid-19 namun mungkin meningkat sedikit hujung tahun ini.

Menurut AuctionGuru, sebanyak 27,541 unit hartanah dilelong tahun lalu bersamaan RM14.25 bilion, susut 25% tahun lalu berbanding RM19.84 bilion pada 2019.

Sebanyak 36,645 unit hartanah dilelong pada 2019, kata laman web lelongan hartanah terbesar di Malaysia itu.

Pengarah Eksekutif Ernte Auction House Sdn Bhd Gary Chia yang dihubungi The Malaysian Insight berkata, kebanyakan pakar pelaburan hartanah meramalkan lelongan akan naik mendadak tahun lalu, namun jangkaan itu meleset.

Ia susulan aktiviti lelongan yang tergendala kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan moratorium pinjaman bank, katanya.

Bagaimanapun, banyak hartanah seperti unit pangsapuri perkhidmatan (serviced apartment), pejabat kecil pejabat rumah (SOHO), pejabat kecil pejabat fleksibel (SOFO) dan Pejabat Kecil Pejabat Maya (SOVO) akan dilelong pada separuh pertama 2021, kata Chia.

Begitu juga hartanah yang dijadikan unit inap sarapan atau Airbnb serta kediaman mewah seperti rumah berkembar dan vila.

“Tiada penyewa (kerana PKP), tetapi yuran penyelenggaraan tetap perlu dibayar. Kadar pulangan rendah dan pemilik sukar untuk membayar pinjaman bank. 

“Potensi hartanah jenis ini dilelong lebih tinggi berbanding jenis lain,” kata Chia kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, pembeli menjangkakan harga hartanah akan turun semasa pandemik.

Kebiasaannya, bank akan mula melelong berdasarkan harga pasaran hartanah, kemudian dikurangkan sebanyak 10% dalam pusingan seterusnya, jelas Chia.

“Pembeli tunggu harga turun kepada 30% hingga 40% pada pusingan empat atau lima.”

Pengarah Urusan MNP Auctioneers Sdn Bhd juga menjangkakan tidak banyak aktiviti lelongan tahun ini kerana bank masih menawarkan moratorium pinjaman walaupun tidak secara automatik.

Bagaimanapun, beliau meramalkan lebih banyak hartanah bernilai lebih RM1 juta akan dilelong susulan pendapatan golongan berpendapatan tinggi terjejas akibat pandemik. – 21 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen