Seorang lagi ahli parlimen Bersatu umum sokong Anwar Ibrahim


Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik menjadi wakil rakyat pembangkang yang keempat menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.– Gambar Facebook, 8 November, 2023.

SEORANG lagi ahli Parlimen Bersatu mengumumkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menjadikan wakil rakyat pembangkang yang keempat dalam tempoh tidak sampai 30 hari.

Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik memberi alasan mahu mengutamakan rakyat supaya tidak ketinggalan dalam pembangunan – alasan sama yang disebut oleh tiga rakannya sebelum ini.

“Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi.

“Dalam alaf yang serba mencabar ini selaku ahli parlimen saya harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat dalam Parlimen Jeli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sokongan itu, katanya, berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Tiga ahli parlimen Bersatu yang mengambil langkah sama sebelum ini ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober diikuti Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober, dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim, semalam.

Sama seperti tiga wakil rakyat itu, Zahari juga mengumumkan tidak akan keluar parti.

“Saya akan taat, setia dan kekal sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya.

Zahari juga berkata keputusannya dibuat “tanpa paksaan, pengaruh dan tekanan” sebaliknya dibuat atas kerelaan sendiri demi rakyat.

Beliau bagaimanapun sedia untuk dikenakan tindakan disiplin oleh parti, sama seperti yang sudah diambil terhadap Iskandar dan Suhaili.

Katanya, beliau mengambil risiko demi memastikan rakyat di Jeli tidak menjadi mangsa keadaan dan tidak ketinggalan menerima pembangunan dan bantuan kerajaan persekutuan.

Minggu lalu, Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu menggantung Iskandar daripada parti selama empat tahun sementara Suhaili digantung enam tahun.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Zahari meraih 63% undi mengalahkan calon Barisan Nasional, Pakatan Harapan, dan Gerakan Tanah Air (GTA) dengan majoriti 12,464 undi. – 8 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen