Perpaduan jangan sekadar pada nama, penganalisis beritahu kerajaan


Alfian Z.M. Tahir

Penganalisis politik berkata semua gabungan dalam kerajaan perpaduan harus mengetepikan perbezaan dan mengukuhkan hubungan demi kestabilan negara. – Gambar Jabatan Penerangan, 21 Disember, 2022.

SEMUA gabungan dalam kerajaan perpaduan harus mengetepikan perbezaan dan mengukuhkan hubungan demi kestabilan negara, kata penganalisis politik.

Pentadbiran baharu ini dilihat akan bertahan sehingga habis penggal tidak seperti kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, dengan sokongan jelas semua parti komponen terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tambah mereka.

Pandangan itu dilontarkan selepas Anwar mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dalam usul undi percaya yang dibentangkan di Dewan Rakyat dua hari lalu.

Sebelum itu, satu perjanjian persefahaman di meterai antara gabungan dalam kerajaan perpaduan iaitu Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan pada Jumaat minggu lepas, yang bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dalam kerajaan pimpinan Anwar. 

Antara yang digariskan dalam perjanjian itu ialah ahli Parlimen yang tidak menyokong Anwar dalam apa-apa usul berkait usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan terhadap keabsahan kerajaan mengikut Perlembagaan Persekutuan perlu mengosongkan kerusi yang dimenanginya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar memberitahu The Malaysian Insight, semua parti dalam kerajaan perpaduan perlu meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan dan matlamat peribadi.

Penganalisis politik itu berkata langkah untuk mewujudkan Majlis Perundingan dan Timbang Tara bagi memastikan segala terma yang dipersetujui dalam perjanjian persefahaman itu dapat dilaksanakan dengan cermat dan teratur adalah tepat.

“Menerusi perjanjian ini semua parti bersetuju bahawa apa-apa perselisihan dan salah faham hendaklah diselesaikan melalui majlis yang ditubuhkan kerajaan perpaduan.

“Dan semua parti harus mengutamakan kepentingan negara,” katanya.

Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan usul undi percaya kepada Anwar melalui undi suara majoriti.

Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun sebelum ini berkata usul undi percaya itu perlu bagi membolehkan beliau memimpin negara dengan mandat yang jelas dan berdasarkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa perjanjian persefahaman yang dimeterai antara gabungan dalam kerajaan perpaduan menyekat dan merosakkan demokrasi serta kebebasan bersuara ahli Parlimen.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula berkata perjanjian itu mengetepikan hal ekslusif ahli Parlimen untuk mengundi di Dewan Rakyat. 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata usul undi percaya perlu bagi membolehkan beliau memimpin negara dengan mandat yang jelas dan berdasarkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2022.

Mengulas penubuhan kerajaan perpaduan, penganalisis politik Dr Mazlan Ali berkata setiap gabungan memahami titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara.

“Apa yang penting adalah kesejahteraan rakyat dan negara. Agong telah bertitah bahawa semua parti harus mengetepikan perbezaan politik dan bersama-sama membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lepas.

“Hanya Perikatan Nasional yang enggan menyertai kerajaan perpaduan, tetapi yang lain bersetuju untuk bekerjasama sekali gus mewujudkan kestabilan politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hisomuddin bagaimanapun memberi amaran pemilihan Umno tahun depan boleh mendatangkan masalah kepada kerajaan diterajui Anwar.

“Pemilihan Umno boleh mencetus pertikaian antara kem dalam parti, dan akan memberi kesan kepada Kabinet Anwar andai tidak ditangani dengan baik.”

Mazlan sebaliknya opitimis, berkata tidak seperti Muhyiddin dan Ismail Sabri, Anwar mendapat sokongan penuh pemimpin setiap parti dalam kerajaan.

“Pemimpin-pemimpin parti dan ahli Parlimen mereka telah diberi tugas penting dalam Kabinet,” ujarnya.

Tolak ansur

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Azmi Hassan berkata sikap tolak ansur DAP terhadap rakan dalam kerajaan perpaduan harus dicontohi semua parti.

Beliau dalam pada itu senada dengan pandangan Hisomuddin, berkata pemilihan Umno akan menjadi ujian kepada kerajaan Anwar.

“Mereka perlu bertolak ansur. Contohi DAP yang langsung tak tuntut apa-apa atau cetus sebarang isu.

“Halangan terbesar kerajaan perpaduan adalah pemilihan Umno. Sekiranya Ahmad Zahid Hamidi dicabar bagi jawatan presiden dan kalah, maka kedudukan BN dalam Kabinet Anwar akan teruji,” katanya. – 21 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen