Dr Mahathir ke Kelantan bantu PAS, Perikatan, kata penganalisis


Diyana Ibrahim

Penganalisis politik berkata kerjasama PN dengan Dr Mahathir Mohamad adalah langkah tepat memandangkan tokoh itu masih lagi berpengaruh terutama dalam membentuk gelombang kebangkitan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2023.

DR Mahathir Mohamad boleh membantu PAS dan Perikatan Nasional (PN) mengukuhkan lagi sokongan pengundi Melayu serta mengalihkan undi daripada parti lawan, kata penganalisis.

Mereka percaya faktor itu yang membuka ruang dan menjalinkan semula kerjasama antara PN dan Dr Mahathir sewaktu kedudukan parti itu mula terjejas di kubu kuatnya di pantai timur.

Ini kerana wujud kebimbangan keutuhan sokongan ke atas PAS tidak seperti yang dikesan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis UTM, Mazlan Ali.

Beliau melihat kedudukan PAS terjejas kerana prestasi dan dasar diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terutama dalam membantu golongan B40 menangani isu kos sara hidup mula menampakkan hasil, katanya.

“Kita lihat momentum Anwar akhir-akhir ini banyak umum polisi yang boleh menggembirakan hati rakyat, banyak insentif yang diberi dan kerajaan juga berjaya mengawal isu kenaikan harga barang dengan baik.

“Harga barang-barang asas seperti beras, gula masih kekal, tidak naik. Jadi masalah kumpulan isu B40 banyak yang sudah diatasi.

“Mungkin disebabkan wujud kebimbangan pada PAS jadi mereka perlu gerakan menyeluruh untuk mengukuhkan sokongan pengundi Melayu,” katanya.

Mazlan diminta menilai kerjasama yang dibentuk PN bersama Dr Mahathir selepas bekas perdana menteri itu ditolak pengundi dalam PRU15.

Dr Mahathir meninggalkan parti Pejuang yang diasaskannya selepas kesemua calon parti itu termasuk beliau sendiri kalah teruk dan hilang deposit dalam pilihan raya tersebut.

Beliau yang kini menggerakkan Proklamasi Orang Melayu sudah pun mengadakan pertemuan dengan Presiden PN Muhyiddin Yassin bagi merintis kerjasama.

Ia bakal menyaksikan Dr Mahathir bekerjasama semula dengan Muhyiddin yang menggulingkan pentadbirannya dalam Langkah Sheraton pada 2020.

Pada Mei lalu, PAS yang merupakan sekutu Bersatu sudah pun bersetuju dan menandatangani Proklamasi Orang Melayu .

Buat julung kalinya Dr Mahathir akan muncul di pentas PN bersama Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam program Munajat Rakyat pada Jumaat di Kelantan.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata kerjasama PN dengan Dr Mahathir langkah tepat memandangkan tokoh itu masih lagi berpengaruh terutama dalam membentuk gelombang kebangkitan rakyat.

“Selain merapatkan kerjasama yang ada, Dr Mahathir ini dilihat pemimpin yang boleh mengetuai dan mencetuskan gelombang.

“Rekod beliau bagus dalam hal membangkitkan gelombang kita boleh tengok masa beliau mengetuai Pakatan Harapan dan mampu untuk mengalahkan Umno Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

“Biarpun dalam PRU15 beliau dan partinya Pejuang, Gerakan Tanah Air (GTA) kalah teruk, hilang deposit tapi pengaruh Dr Mahathir masih ada,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar pula melihat kerjasama Dr Mahathir dengan PN adalah memastikan sokongan orang Melayu tidak lari.

Ia termasuk menarik sokongan pengundi Melayu yang mengundi BN dan PH pada PRU15.

“Saya lihat PN cuba menghakis semaksimum mungkin sokongan pengundi Melayu (yang) mengundi PH dan BN pada PRU15 (supaya) melakukan ayunan atau peralihan kepada PN.

“Faktor ini yang diberikan tumpuan PAS untuk memastikan undi Melayu dalam PRN dinoktahkan kepada PN dan bukan kepada PH dan BN,” katanya.

Katanya lagi, PN juga dilihat cuba untuk mematahkan usaha PH dan BN untuk memenangi hati pengundi Melayu dengan menyekat sebarang elemen yang boleh menyebabkan peralihan sokongan.

Penganalisis politik itu juga percaya Dr Mahathir masih mempunyai pengaruhnya dan ia menjadi nilai tambah kepada PN.

“Akan ada yang menyokong Dr Mahathir ini kita tidak boleh nafikan tapi di tahap yang minimum. Segmen ini akan menyokong beliau dan itu adalah sedikit sebanyak apa yang diusahakan PN,” katanya.

Hisomuddin juga sangsi dengan dakwaan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang mengatakan lebih separuh rakyat Kelantan tidak berpuas hati dengan pentadbiran PAS di negeri itu.

Katanya, kajian daripada Ilham Centre menunjukkan biar pun ada sentimen tidak puas hati di kalangan rakyat negeri itu, ia tidak mengatasi isu Melayu dan Islam.

“Kita melihat begini. Biar pun tidak dinafikan ketidakpuasan hati itu berlaku terutama dengan isu air di Kelantan, tanah di Terengganu tapi bila datang isu melibatkan Melayu Islam terancam bawah PH. Bila dibuat pertimbangan antara dua isu itu yang menang kepada naratif persepsi dan emosi pengundi itu lebih dominan.

“Dan PH juga dilihat masih gagal dan masih lagi mencari bagaimana nak mematikan naratif yang dibawa PN,” katanya. – 20 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen