Pesara hantar surat mengandungi alat letupan dibicarakan di mahkamah Sepanyol


SEORANG pesara akan dihadapkan di mahkamah Sepanyol atas pertuduhan menghantar siri surat mengandungi alat letupan termasuk ke kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sánchez, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Lelaki berusia 74 tahun itu didakwa atas keganasan serta pembuatan dan penggunaan alat letupan untuk tujuan keganasan, menurut mahkamah negeri di Madrid semalam.

Penghantaran siri surat mengandungi alat letupan itu mencetuskan kegemparan di Sepanyol pada akhir November 2022.

Selain Sánchez dan kedutaan AS dan Ukraine, sebuah syarikat pertahanan yang membekalkan produk ke Ukraine, Menteri Pertahanan Margarita Robles dan Pusat Satelit EU di pangkalan udara Torrejón, turut menerima surat sama.

Lelaki itu ditahan di Miranda de Ebro, kira-kira 300 km di utara Madrid, dua bulan kemudian.

Menurut laporan kehakiman lelaki itu tidak mempunyai tanda-tanda beliau menganggotai kumpulan pengganas atau kumpulan terancang tetapi kesemua bukti mendapati beliau bertindak dengan niat untuk “mengganggu ketenteraman awam” dan mahu bantuan kepada Ukraine dihentikan dalam perang menentang Rusia.

Media yang memetik kenyataan polis ketika itu melaporkan enam surat yang dihantar lelaki itu mengandungi mekanisme piroteknik buatan sendiri dan logam bola kecil buatan sendiri.

Hanya satu hantaran meletup menyebabkan seorang pekerja kedutaan Ukraine cedera di tangan. – Bernama, 3 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen