Jawatan timbalan presiden Amanah ditentukan Disember ini, kata Mahfuz


Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata setakat ini parti itu baru sahaja memulakan mesyuarat dan masih belum menerima senarai calon-calon jawatan timbalan presiden. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2023.

JAWATANKUASA Nasional Amanah bagi penggal 2023-2026 pada bulan Disember nanti akan menentukan siapa bakal mengisi jawatan Timbalan Presiden Amanah yang ditinggalkan oleh Allahyarham Salahuddin Ayub.

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata setakat ini parti itu baru sahaja memulakan mesyuarat dan masih belum menerima senarai calon-calon.

“Kita tidak boleh buat sebarang spekulasi siapa yang bakal mengisi jawatan yang ditinggalkan oleh Allahyarham. Sebagaimana yang kita tahu sistem di dalam Amanah agak berlainan dengan parti-parti lain seperti Umno ataupun PAS.

“Kita tidak bertanding untuk satu jawatan tetapi jawatan itu ditentukan oleh 27 orang (AJK Pimpinan Nasional) yang terpilih di peringkat nasional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Pasir Mas di Dewan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Tendong di Pasir Mas hari ini.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata kesemua 27 calon yang terpilih itu akan bermesyuarat bagi menentukan siapa yang paling layak memegang sebarang jawatan seperti presiden, timbalan mahupun setiausaha.

Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, meninggal dunia pada 23 Julai lalu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah selepas mengalami pendarahan otak. – Bernama, 3 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen