Mat Sabu mahu Adly dalam Kabinet untuk perkukuh kedudukan, kata laporan 


Presiden Amanah Mohamad Sabu mungkin berdepan cabaran getir dalam pemilihan parti akan datang yang dijadualkan pada Disember.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2023.

MOHAMAD Sabu mahu Adly Zahari menjadi wakil Amanah dalam Kabinet untuk mengukuhkan kedudukannya sendiri dalam parti, lapor Malaysiakini hari ini.

Memetik sumber, portal berita itu berkata kedudukan Mohamad sebagai presiden parti goyah dan mungkin berdepan cabaran getir dalam pemilihan parti akan datang pada Disember.

Justeru, beliau mahu Adly, yang rapat dengan presiden, berada dalam Kabinet dan juga menjadi timbalan presiden parti, tambah sumber itu.

Adly dikhabarkan akan mengisi kekosongan kabinet yang ditinggalkan bekas menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai.

“Kemungkinan Adly juga akan diangkat sebagai timbalan presiden sekiranya Mat Sabu (Mohamad) berjaya mempertahankan jawatan presiden.

“Jadi pemilihan Adly bagi menggantikan posisi Salahuddin di Kabinet merupakan strategi Mat Sabu untuk memperkuatkan pasukannya berdepan pemilihan,” sumber itu dipetik sebagai berkata.

Adly kini adalah naib presiden Amanah dan timbalan menteri pertahanan. Bekas ketua menteri Melaka itu memenangi kerusi Parlimen Alor Gajah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Satu lagi sumber turut dipetik sebagai berkata Mohamad, yang juga menteri pertanian dan keterjaminan makanan, telah memutuskan sendiri untuk mencalonkan Adly sebagai menteri.

“Presiden menamakan Adly tanpa diputuskan dalam mesyuarat kerana Adly dianggap pimpinan paling rapat dengannya. Ini adalah langkah menjelang pemilihan. Beberapa negeri sudah sedia untuk tidak berpihak kepada presiden sekarang.

“Langkah kontingensi presiden sekarang ialah, daripada hilang semua, lebih baik kedepankan Adly sebagai pengganti yang direstui. Tetapi tak semua restu percaturan itu,” dakwa sumber berkenaan.

Sementara itu, Malaysiakini juga melaporkan Mohamad mungkin menghadapi cabaran untuk jawatan presiden daripada Mujahid Yusof Rawa, yang dikatakan dari kem lawan dalam parti.

Mujahid juga kini merupakan naib presiden parti, dan beliau pernah berkhidmat sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Amanah akan mengadakan pemilihan parti pada 23 dan 24 Disember.

Mengikut perlembagaan parti, seseorang hanya boleh berkhidmat tiga penggal berturut-turut sebagai presiden. Jika Mohamad mengekalkan jawatannya, ini adalah penggal terakhirnya untuk memimpin parti. – 26 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen