PM ingatkan syarikat jaga kepentingan bumiputera jangan khianati amanah


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerana kerajaan pernah berdepan 'pengalaman buruk' kerana terpaksa memberi suntikan tambahan kepada syarikat berkaitan akibat tadbir urus yang lemah bagi menyelamatkan pegangan bumiputera.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan syarikat yang menjaga kepentingan bumiputera supaya tidak mengkhianati amanah diletakkan dalam menjaga kepentingan golongan itu.

Beliau berkata ini kerana kerajaan pernah berdepan “pengalaman buruk” kerana terpaksa memberi suntikan tambahan kepada syarikat berkaitan akibat tadbir urus yang lemah bagi menyelamatkan pegangan bumiputera. 

“Satu pihak pengurusannya itu amat bobrok, sehingga merosakkan dan merugikan. Pengalaman ini menyakitkan, kerana kita lihat umpamanya Felda memerlukan suntikan RM8.3 bilion kerana pengurusan dan tatakelola lemah. 

“Kita ada lagi yang melibatkan syarikat yang memerlukan suntikan RM2.7 bilion daripada kerajaan untuk menyelamatkan daripada terlepas daripada tangan bumiputera,” katanya pada Majlis Pelancaran Unit Tambahan Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di Kuala Lumpur hari ini.  

Perdana menteri berkata keadaan sama turut berlaku kepada Tabung Haji sebelum ini yang berdepan masalah kerugian aset walaupun kini pengurusannya bertambah baik. 

Anwar berkata beliau tidak boleh mengizinkan perkara seumpama itu berlaku lagi dalam pentadbirannya kerana ia hanya menyebabkan pembaziran kewangan kerajaan. 

“Pengurusan profesional harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya, sekiranya terdapat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berlaku dan tindakan keras akan diambil terhadap mereka kerana ini bukan hanya mengkhianati amanah biasa tetapi mengkhianati amanah yang sangat diharapkan oleh bumiputera,” katanya. 

Dalam pada itu, Anwar mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) Ahmad Nizam Salleh serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB Mohamad Damshal Awang Damit kerana pengurusan yang membanggakan. 

Beliau berkata PHB bukan sahaja dapat mempertahankan keuntungan malah memberi bimbingan kepada bumiputera untuk menguruskan pelaburan dengan berhemah. 

“Tentunya nilai integriti kita boleh tunjuk bahawa kita perlukan sedikit bimbingan di peringkat awal dan kemudian kami dapat uruskan dengan sebaik mungkin dengan amanah dan tidak ada kecurangan berlaku dan seterusnya jadi contoh dan teladan,” katanya. – Bernama, 17 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen