Kumpulan perniagaan berbeza pendapat arahan guna BM dalam surat rasmi


Alfian Z.M. Tahir

Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan semua jabatan kerajaan agar tidak melayan sebarang surat yang tidak ditulis dalam bahasa kebangsaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2023.

PERSATUAN dan kumpulan perniagaan berbeza pendapat mengenai keputusan Putrajaya menjadikan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa komunikasi rasmi apabila berurusan dengan kerajaan.

Jurucakap perusahaan kecil dan sederhana memberitahu The Malaysian Insight, Putrajaya tidak seharusnya mengenakan peraturan tidak perlu ke atas pemilik perniagaan kerana BM digunakan oleh banyak entiti perniagaan selama bertahun-tahun tanpa sebarang masalah.

Beliau mempersoalkan mengapa Putrajaya menjadikan ia isu sekarang.

Bagaimanapun, persatuan lain menerima cadangan kerajaan Madani dengan menyatakan mereka tidak ragu-ragu dengan langkah Putrajaya menjadikan BM sebagai bahasa komunikasi rasmi.

Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan semua jabatan kerajaan agar tidak melayan sebarang surat yang tidak ditulis dalam bahasa kebangsaan.

Dalam ucapan perasmian Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan, Anwar berkata terdapat kecenderungan sesetengah pihak menafikan asas Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan mereka berkomunikasi dengan jabatan kerajaan dalam bahasa kebangsaan.

“Jadi saya ingatkan hal ini, kalau dalam kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan termasuk swasta, arahannya ialah siapa sahaja menulis dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan, surat itu akan dipulangkan,” kata perdana menteri. 

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.

Anwar berkata tindakan sedemikian tidak akan menjadikan Malaysia berfikiran sempit kerana kerajaan tidak menjejaskan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris.

Penasihat Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Johor Selatan Teh Kee Sin berkata penggunaan bahasa Inggeris harus dibenarkan dalam hal teknikal.

Beliau juga berkata ahli politik tidak seharusnya mencampuri urusan berkaitan bidang perniagaan.

“Pertama sekali, kami suka BM, saya bercakap dalam BM dan kami menggunakan BM dalam kebanyakan perbualan, sama ada secara lisan atau surat terutamanya dengan kerajaan.

“Namun, ada perkara yang kita perlu gunakan bahasa Inggeris, contohnya dalam hal teknikal yang sukar untuk diterjemah. Dalam hal ini saya rasa penggunaan bahasa Inggeris masih perlu dibenarkan,” kata Teh.

Teh berkata apa yang paling penting ialah mesej itu difahami.

“BM atau Bahasa Inggeris adalah alat komunikasi. Apa yang kita mahu ialah hasilnya. Saya rasa ahli politik tidak sepatutnya mengajar ahli perniagaan bagaimana melakukan kerja mereka,” tambah Teh.

Tiada masalah guna BM

Bagi Kamarul Baharin Mansor Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, penggunaan BM harus digunakan kerana ia akan menjangkau semua sektor pekerja dari peringkat atas hingga ke bawah.

“Bahasa itu boleh difahami oleh semua orang dengan mudah. Lagipun, ia adalah bahasa kebangsaan kita. Bagi MTUC, kita tiada masalah dengan keputusan itu.”

Persatuan Penggaya Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan Akilan Anandakrishnan bersetuju dengan pandangan Kamarul.

Beliau berkata pertubuhannya menghantar surat rasmi kepada kerajaan dalam BM selama bertahun-tahun.

“Saya tiada masalah, kami sudah menggunakannya selama bertahun-tahun. Saya fasih berbahasa Melayu dan saya boleh menulis dalam BM,” kata naib presiden persatuan itu.

Di sebalik peringatan Anwar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Amar Mohd Abu Bakar Marzuki berkata apa yang dikatakan Anwar tidak terpakai di Malaysia Timur dan perkhidmatan awam Sarawak masih boleh menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi rasmi.

Walaupun setiausaha kerajaan negeri Sarawak tidak menjelaskan mengapa jabatan kerajaan negeri dan perkhidmatan awam dikecualikan daripada peringatan itu, dipercayai beliau merujuk kepada bagaimana bahasa Inggeris masih menjadi bahasa rasmi Sarawak di samping BM. – 2 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen