101 penduduk di Johor Bahru terjejas banjir kilat


SEBANYAK 101 penduduk di Lorong Mak Piah, Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Ramli berkata mereka yang terdiri daripada 31 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Raya Sungai Tiram mulai 11 malam tadi.

Beliau berkata penghulu mukim kampung berkenaan memaklumkan hujan lebat berlaku sekitar 4 petang dan longgokan kayu serta sampah di jambatan sungai berdekatan menyekat aliran air yang seterusnya melimpah sekali gus menyebabkan banjir setinggi satu meter.

“Pasukan keluaran operasi (PKO) terdiri daripada lapan anggota bertindak memindahkan mangsa ke PPS dengan menggunakan sebuah bot bomba sukarela dan sebuah bot orang awam. Ada juga mangsa yang berpindah sendiri ke PPS berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemantauan sentiasa dijalankan di lokasi kejadian meskipun hujan berhenti sekitar 6 petang semalam.

Setakat 8 pagi ini cuaca di kawasan itu dilaporkan cerah. – Bernama, 2 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen