Wanita rugi lebih setengah juta ringgit terpedaya pelaburan saham tidak wujud


SEORANG wanita warga tempatan kerugian lebih setengah juta ringgit dipercayai selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook, Mei lepas.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata pekerja syarikat swasta berusia 42 tahun itu, membuat laporan pada pukul 3.15 petang di Balai Polis Kempas, di Johor Bahru, semalam.

Beliau berkata mangsa memberitahu berhubung dengan seorang wanita tempatan dan ditawarkan pelaburan yang kononnya akan dilaburkan di Bursa Saham Malaysia dengan pulangan sebanyak RM28,000 setiap bulan.

“Antara 30 Mei tahun ini sehingga 11 Julai lepas, mangsa membuat 14 transaksi pemindahan wang ke empat akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM672,491,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berlainan, beliau berkata seorang wanita warga emas berusia 71 tahun menjadi mangsa penipuan panggilan (phone scam) dengan jumlah kerugian sebanyak RM202,800. 

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu dua hari lepas, dan mangsa mendakwa menerima mesej daripada seorang individu yang dipercayai menyamar sebagai pegawai Bank Negara dan mendakwa kad kredit mangsa digunakan oleh seseorang.

“Individu yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara itu kemudiannya memberikan mangsa nombor telefon seorang individu, dipercayai menyamar sebagai seorang pegawai polis dikenali sebagai ‘Inspektor Loh Thee How’.

“Mangsa kemudiannya memberikan maklumat akaun bank dan membuat transaksi sebanyak lima kali ke dua akaun bank dari 13 hingga 14 Julai lepas,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama, 17 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen