Kenyataan KPM bercanggah dengan penjelasan pengetua, kata ibu bapa


Ibu bapa dan guru SMK Infant Jesus Convent di Johor Bahru berkata mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu tidak pernah membincangkan mengenai dua siri bengkel berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari 2023.

KENYATAAN Kementerian Pendidikan (KPM) berkait program bengkel Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Infant Jesus Convent di Johor Bahru baru-baru ini bercanggah dengan taklimat yang diberi oleh pengetua sekolah terbabit, kata sekumpulan ibu bapa.

Mereka berkata mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu tidak pernah membincangkan mengenai dua siri bengkel berkenaan dan tiada peruntukan diluluskan untuk program tersebut.

“Bagi kami ini satu pelanggaran kepercayaan yang serius.

“Jelas bahawa tidak semua ahli PIBG maklum mengenai maklumat ini,” kata mereka dalam satu kenyataan. 

Kenyataan ditandatangani Pramitta Subramaniam, Christopher Ling Siew Ming, Seng Yen Phing, Dr Lee Yoong Wei, Elizabeth Louis, James Govindasamy, Dr Wong Kit Wan dan James Chuah.

Seterusnya mereka berharap PIBG dan pentadbiran SMK Infant Jesus Convent Johor Bahru dapat memastikan segala perancangan dan komunikasi pada masa hadapan dapat dibuat secara konsensus dan telus.

“Ini bagi mengelakkan amalan diskriminasi dan memecahbelahkan dapat dielakkan.”

KPM semalam menafikan sebarang unsur diskriminasi terhadap calon SPM bukan Islam dalam program bengkel untuk pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di Johor.

Kementerian itu dalam satu kenyataan menjelaskan pihak sekolah menganjurkan dua siri bengkel bagi mengelak daripada mengganggu pelajar yang menyambut Tahun Baharu Cina.

Menurut KPM, pada 19 dan 20 Januari, Bengkel Persediaan SPM diadakan terlebih dahulu untuk calon diadakan di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 orang calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta melibatkan calon Galus (gagal lulus) dalam beberapa mata pelajaran lain.

“Bengkel yang dilaksanakan diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina dan bengkel susulan yang sama bagi calon lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari bertempat di hotel yang sama.

“Hasil siasatan mendapati tiada unsur diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki SPM dalam program yang telah dirancang oleh pihak sekolah dengan melibatkan pegangan agama berbeza sebagaimana yang didakwa,” kata KPM.

Ibu bapa dan orang ramai sebelum ini dilaporkan mendakwa bengkel berkenaan hanya ditawarkan kepada pelajar beragama Islam.

Bengkel itu dikatakan merangkumi subjek kritikal termasuk Matematik Tambahan dan Kimia.

Bagaimanapun, pelajar bukan Islam tidak dijemput menyertai bengkel itu selepas dikatakan penderma telah membayar keseluruhan penginapan dua hari satu malam itu. – 25 Januari 2023. 


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen