Megah Gemencheh yang sedap 


Faisal Tehrani

Filem Gemencheh Boys karya Jason Chong dan Eric Ong.– Gambar Astro Shaw, 31 Oktober, 2023.

MENONTON Gemencheh Boys karya Jason Chong dan Eric Ong benar-benar mengesankan dan menggetarkan. Saya harus menyatakan ia sebuah filem kecil yang sederhana tetapi dapat memberikan impak besar.

Sebelum saya menghuraikan lanjut, pujian muluk-muluk yang teratas harus diberikan kepada pelakon untuk protagonis utama filem ini, iaitu Pekin Ibrahim sebagai Cikgu Azman Abdul Aziz.

Gemencheh Boys berdasarkan kisah benar, meriwayatkan perihal cikgu disiplin di Sekolah Kebangsaan (Felda) Bukit Rokan Utara, iaitu Cikgu Azman (Pekin Ibrahim) yang ditugaskan oleh guru besar (Ahmad Tarmimi Siregar) untuk melatih murid di sekolah tersebut sukan kriket.

Pada mulanya Cikgu Azman tidak mengetahui apa-apa pun mengenai kriket dan terpaksa belajar mengatasi kejahilan itu. Perjalanan suka duka Cikgu Azman berkembang sebagai jurulatih yang membentuk 10 orang pemain kriket kebangsaan dengan salah seorangnya, Shafiq Sharif mewakili Cricket World Cup 2019 serta memenangi pingat emas Sukan SEA 2017.

Untuk melakonkan watak Cikgu Azman, Pekin Ibrahim melakukan cara lama dan bukan jalan pintas. Pekin berulang alik ke Gemencheh, Negeri Sembilan, berkawan dengan Cikgu Azman yang masih mengajar dan memerhatikan secara sedar dan tanpa sedar gerak geri cikgu tersebut.

Pekin juga melakukan latihan lakonan stail Hollywood, yang mana pelakon dari lingkungan luar yang mencabar diri untuk belajar mengenai wataknya. Maka Pekin kelahiran Kelantan menanggalkan lidah budunya lantas dengan jaya bertutur dialek Negeri Sembilan tanpa kekok demi memeran watak Cikgu Azman. Sebagai orang adat Perpatih saya kagum.

Bukan itu sahaja bahasa tubuh Pekin sebagai Azman sangat luar biasa, di mana beliau sama sekali ‘transform’ sebagai guru disiplin merangkap juru latih kriket.

Dalam banyak keadaan emosi Pekin sebagai Azman sangat mendalam, yang mendorong rasa sedih dan juga girang kita sebagai audien. Beberapa gerakan yang memberikan poin perubahan menggambarkan kekecewaan beliau khusus ketika ketewasan pertama pasukan kriket bimbingannya dengan sekolah kelasan Sekolah Kebangsaan Dato Panglima demikian mengharukan.

Di adegan lain, Pekin berjaya membawa kesukaran atau kompleksiti watak ketika Azman perlu memilih antara anak kandungnya atau anak didik kriketnya. Dapat saya katakan Pekin adalah antara pelakon berkelas dunia dari negara kita dan moga-moga berhasil terbilang lambat launnya.

Tentu sahaja, Pekin sebagai Azman tidak akan berhasil jika tidak dibantu oleh enam pelakon cilik yang memeran watak anak Felda yang digelar Enam Jahanam.

Di Felda yang penuh dengan masalah sosial termasuk penagihan dadah, enam anak ini diselamatkan oleh Azman untuk dilatih menjadi pemain bertaraf kebangsaan di Sekolah Bukit Rokan Utara.

Pelakon kanak-kanak iaitu Aqil Yaya (Shafiq), Syed Ahmad (Rashid), Ayiet Harith (Fauzi), Kimi Norais (Amin), Izzue Deen (Sukri) dan Amir Kuziq (Azad) mengatasi parameter lakonan sederhana dengan menampilkan bakat berkualiti yang besar.

Sebagai mereka yang tidak pernah berlakon, persembahan keenam-enam mereka begitu bersahaja tetapi berimbang serta sangat menghiburkan; malah pada saat tertentu amat berkesan lagi mencengangkan. Tekanan yang menimpa Azad, dan Shafiq misalnya begitu menggaru rasa. Ia memberi kesan pilu-gembira sehingga ke akhir.

Azman Hassan (Jabar, pekerja sekolah) dan Ahmad Tarmimi (guru besar) memberikan definisi sebenar pelakon pembantu yang serasa amat menyokong watak-watak utama berkincah tanpa mengatasi mereka di atas. Kehadiran Farah Fauzana sebagai ‘mak cik kaya’ iaitu pengerusi PIBG sekolah mencuri perhatian.

Aspek lain yang mencukupkan perisa Gemencheh Boys ialah pilihan dialognya yang segar, menepati zaman dan lucu.

Meskipun ada kalanya serasa klise malah meleret, beberapa suguhan sub plot seperti letak duduk Azad sebagai anak yang terdera oleh keadaan; gumpalan permainan anak-anak kampung (layang-layang, atau laga kerengga); serta percikan-percikan melankolia ala drama Mandarin-Kantonis sebagai perisa tetap meruntun dan tidak sampai mendera.

Kesulitan pasukan kriket menampung dana dan belanja untuk ke kota dengan memohon derma, menanam pokok lada dan berjualan di pekan Gemencheh demi menjayakan ‘Gemencheh Megah’ dihantar supaya memahamkan audien liku yang dihadapi anak-anak ini. Maka ia tidak terkesan lewah tetapi menyokong naratif utama.

Jenaka cagu, adidas kampung dan bola labuh yang semuanya merakam nuansa desa Negeri Sembilan yang nakal ternyata mengusik. Untuk itu pengkisahan yang dibina oleh Jason Chong dan Khairul Ikhwan ini dapat dipuji. 

Sinematografi meskipun sedikit kaku, masih dapat merakam latar Gemencheh yang ditampil secara jujur dan sesungguhnya. Walaupun sosio budaya Gemencheh diketengahkan terlalu terkawal, pun wajah rupa kebun getah, tali air dan pekan kecil Negeri Sembilan itu memberikan aroma baru dalam filem kita yang terperap oleh aksi-aksi seram yang memualkan sejak akhir ini.

Juga, tidak dapat dibayangkan berapa banyak syot diambil untuk merakam bola mengenai pancang, selain syot udara yang menabur seluruh pemandangan Felda terpencil di Rokan Utara.

Filem Gemencheh Boys ini sangat bermakna kerana ia bukan sahaja mengenai guru yang tidak putus asa, dan murid yang degil akhirnya berjaya. Ia adalah mengenai impian kampung untuk berjaya secara terhormat di pentas dunia.

Sebagai sebuah filem sukan, dan juga motivasi yang kemas, Gemencheh Boys tidak merosakkan tumpuan khalayak dengan peraturan sukan yang rumit.

Ia memberi sekadarnya, tetapi menumpukan aspek psikologi pemain. Meskipun klise ia adalah kategori klise yang sedap.

Wajar filem ini diberi pendedahan yang lebih agar dapat ditonton oleh lebih ramai rakyat Malaysia.

Berkejarlah menontonnya. – 31 Oktober, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Terima kasih faisal . Terharu saya membacanya . Terima kasih

    Dimuat naik 5 bulan yang lalu oleh Mohd Iznan Ibrahim · Ulasan