Siling pusat beli-belah runtuh, 3 cedera ringan


Orang ramai menyelamatkan diri apabila sebahagian siling Megah Rise Mall di Petaling Jaya runtuh ketika hujan lebat hari ini. – Gambar tangkap layar, 28 Oktober, 2023.

SILING depan anjung pusat beli-belah Megah Rise Mall di Petaling Jaya, Selangor runtuh dalam kejadian angin kencang dan hujan lebat, petang tadi.

Menurut pihak pengurusan pusat beli-belah itu, tiga individu mengalami cedera ringan dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu.

Kejadian yang tular menerusi satu video berdurasi 37 saat di media sosial itu memaparkan siling itu sedang jatuh dan beberapa orang pengawal dilihat membantu pengunjung untuk keluar dari kawasan itu.

Terdapat juga pengunjung yang menjerit ketakutan dan bergegas keluar daripada premis terbabit untuk menuju ke kawasan lebih selamat.

“Dukacita dimaklumkan siling anjung kereta di hadapan pintu masuk Megah Rise Mall runtuh ketika angin kencang dan hujan lebat, kira-kira jam 3 petang, mengakibatkan tiga orang cedera ringan,” menurut pihak pengurusan Megah Rise Mall menerusi laman rasmi Facebooknya.

“Kami sedang menyiasat punca kejadian dan mengambil tindakan segera untuk mengurus dan menangani keadaan itu,” menurut kenyataan.

Megah Rise Mall memaklumkan keutamaan mereka adalah keselamatan dan kesejahteraan pengunjung.

“Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi kami di [email protected]. Kami akan sentiasa memberikan maklumat terkini,” menurut kenyataan itu. – Bernama, 28 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen