Tabung Kemanusiaan Palestin bagi perkhidmatan awam peringkat JPM dilancar


Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata Tabung Kemanusiaan Palestin bagi Perkhidmatan Awam peringkat Jabatan Perdana Menteri dilancarkan hari ini. – Gambar Facebook, 26 Oktober, 2023.

TABUNG Kemanusiaan Palestin bagi Perkhidmatan Awam peringkat Jabatan Perdana Menteri dilancarkan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali hari ini.

Mohd Zuki dalam catatan di laman Facebook miliknya berkata tabung itu dilancarkan bagi membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang terkesan akibat konflik di Semenanjung Gaza.

“Saya berharap agar sumbangan dari penjawat awam ini dapat membantu untuk mencapai objektif kutipan rakyat Malaysia yang disasarkan oleh Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) sejumlah RM100 juta,” katanya.

Pada 19 Oktober lepas Anwar dilaporkan berkata kutipan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar berjumlah RM81 juta menghampiri sasaran RM100 juta.

Tabung AAKRP diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini dengan kerajaan telah menyumbang RM10 juta dana awal tabung itu.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak. – Bernama, 26 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen