Terlalu tegas perkasa Bahasa Melayu rugikan negara, kata G25


Ketua Setiausaha Negara pada Selasa berharap Jabatan Perkhidmatan Awam dapat meneliti tindakan korektif dan punitif ke atas pihak yang mengambil mudah arahan berkaitan pemerkasaan penggunaan Bahasa Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2022.

TINDAKAN punitif bagi memperkasakan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam akan kesan negatif kepada imej negara, kata G25.

G25, yang terdiri daripada tokoh Melayu berpengaruh, berkata pendekatan itu akan menyebabkan negara rugi kerana terlalu tegas dalam penggunaan Bahasa Melayu, kerana Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang paling banyak digunakan di dunia.

Kumpulan itu mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali pada Selasa, yang berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meneliti tindakan korektif dan punitif ke atas pihak yang mengambil mudah arahan berkaitan pemerkasaan penggunaan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan itu.

Mengulas lanjut, G25 berkata walaupun menyokong usaha untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang menyatukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, namun perlu diingatkan bahawa Bahasa Inggeris juga penting dan diguna meluas dalam banyak urusan di peringkat antarabangsa.

“Malaysia akan rugi dalam banyak perkara jika tindakan punitif dikenakan ke atas mereka yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam setiap urusan rasmi di jabatan kerajaan kerana banyak urusan yang memerlukan penjawat awam perlu berkomunikasi dalam bahasa itu bagi memudahkan pemahaman tentang masalah dan isu yang sedang dihadapi,” katanya.

Kenyataan itu turut menjadikan pandemik Covid-19 sebagai contoh, berkata pegawai Kementerian Kesihatan dapat menganalisis krisis dengan lebih baik kerana penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Begitu juga dalam menganalisis krisis ekonomi, pegawai-pegawai di agensi-agensi berkaitan dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik jika mereka menggunakan Bahasa Inggeris kerana ia digunakan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan institut-institut penyelidikan ekonomi termasuk di Malaysia.

“Bagaimana pegawai-pegawai kita hendaklah jalankan tugas jika tindakan punitif dilaksanakan dengan tegas dalam perkhidmatan awam?” soalnya. – 28 Mei, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen