Cabaran Anwar, Kabinet dan perkhidmatan awam


Ruhan Shahrir

Kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Kabinetnya yang rencam itu, membuka suatu ruang dan peluang baharu buat parti yang sebelum ini bermusuhan untuk saling bekerjasama, dalam usaha untuk membangunkan dan memajukan negara. – Gambar Jabatan Perdana Menteri, 10 Disember, 2022.

PERDANA menteri – Kabinet – perkhidmatan awam. Tiga komponen utama yang saling terikat antara satu sama lain dalam satu simpulan hubungan simbiotik yang dinamakan kerajaan.

Ia bertindak sebagai enjin motor yang menghidupkan dan menggerakkan kerajaan. 

Tanpa kesepaduan daripada ketiga-tiga komponen tersebut, sukar untuk sesebuah kerajaan itu mentadbir negara dengan baik, lancar dan berkesan. 

Ini adalah antara cabaran besar buat Anwar Ibrahim – menemukan kesepaduan antara beliau sebagai perdana menteri dengan Kabinet dan kesepaduan antara beliau dengan pegawai-pegawai tinggi perkhidmatan awam yang menjadi pelaksana kepada dasar kerajaan.

Ketika ini ramai yang memfokuskan kepada Kabinet yang baru dilantik oleh Anwar.

Kabinet yang diumumkan pada 2 dan 9 Disember 2022 dikritik hebat oleh pimpinan dan penyokong parti-parti pembangkang (baca: PAS dan Bersatu Semenanjung). Ini tentunya telah dijangka.

Di pihak pimpinan dan penyokong parti yang bergabung membentuk “kerajaan perpaduan” pula, secara umumnya terbelah kepada dua pihak.

Ada pihak yang mendukung “pilihan” Anwar dengan hujah “pragmatik”, “strategik”, “pilihan terbatas”, kegusaran pengaruh Islamisasi semakin meluas”, “kestabilan kerajaan”, “nasihat Yang diPertuan Agong” dan seumpamanya. 

Manakala di pihak yang satu lagi mengajukan kekecewaan mereka dengan hujah “prinsip”, “idealisme”, “menolak kluster mahkamah”, “integriti”, “kerajaan bersih”, “keadilan dalam pengagihan jawatan Kabinet” dan hujah moral yang lainnya. 

Realpolitik

Moral tentunya penting tetapi realpolitiklah yang biasanya akan menjadi sandaran dalam membuat keputusan khususnya apabila ia melibatkan kelangsungan atau survival sesebuah parti atau gabungan yang dibentuk itu.

Dalam konteks demokrasi liberal, pertentangan pandangan adalah suatu proses yang tak terelakkan.

Kebebasan untuk berbeza pandangan bukan hanya dengan pihak lawan, tetapi juga dalam kumpulan sendiri adalah sebahagian daripada konsep kebebasan individu yang membentuk tiang-tiang utama yang mencirikan demokrasi liberal. 

Disiplin organisasi yang cuba diterapkan bagi memastikan kesepaduan dalaman parti atau gabungan mungkin sahaja boleh ditafsirkan sebagai “autoritarian” atau cubaan untuk mengekang hak kebebasan individu bersuara. 

Ini paradoks demokrasi liberal – antara kebebasan individu dan kesepaduan kumpulan. Sejauh mana kebebasan individu menyuarakan pandangan berakhir dan sejauh mana pula kesepaduan kumpulan bermula. 

Paradoks antara hak kebebasan bersuara individu yang berkemungkinan memecahkan kesepaduan kumpulan dan kesepaduan kumpulan yang memerlukan kawalan kepada kebebasan individu itu sendiri, adalah antara persoalan yang rumit untuk dirungkaikan khususnya ketika sebahagian besar orang mempunyai capaian teknologi komunikasi dan maklumat yang hampir tidak terbatas serta nilai individualisme yang semakin menguat dalam masyarakat berbanding nilai kolektif.

Mengetepikan dahulu perbahasan mengenai krisis yang melanda demokrasi liberal dewasa ini, saya berfikiran kelangsungan “kerajaan perpaduan” sekarang sebahagiannya akan bergantung kepada kemahiran, kepakaran dan kehalusan realpolitik Anwar untuk menguruskan Kabinet dan perkhidmatan awam. 

Rencam

Tentunya tidak mudah untuk menguruskan sebuah Kabinet yang bukan sahaja rencam, tetapi juga tergabung dalamnya menteri daripada parti yang secara struktur dan ideologinya berlawanan. 

Misalnya antara parti “Malaysian Malaysia” dengan parti “teras Melayu”, antara parti berpusat di Semenanjung dengan parti tempatan dar Sabah dan Sarawak yang punya kecenderungan autonomi yang kuat, antara parti yang menjadi “king maker” dengan parti yang bergantung kepada sokongan “king maker” untuk terus bertahan, antara parti etnik dengan parti pelbagai etnik, antara parti sekular dengan parti yang bukan sekular dan separa-sekular, antara parti yang mewakili kepentingan keMelayuan dengan parti yang mewakili kepentingan keCinaan  atau kepentingan “keBorneoan” atau kepentingan “keMalaysiaan”. 

Kesepaduan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Kabinet dan penjawat awam diperlukan bagi sesebuah kerajaan itu mentadbir negara dengan baik, lancar dan berkesan. – Gambar Jabatan Perdana Menteri, 10 Disember, 2022.

Kesemua pertentangan ini bukan hanya memerlukan kecermatan, kelunakan dan kehalusan untuk mengendalikannya, tetapi juga mengkehendaki tolak-ansur yang tinggi serta kesanggupan untuk berkorban bagi memastikan kelangsungan “kerajaan perpaduan” yang buat pertama kalinya wujud di Malaysia. 

Memandangkan ia tidak pernah wujud sebelum ini, maka cabarannya tentulah lebih getir lagi khususnya buat Anwar sebagai penerajunya. 

Tidak mudah untuk mencari suatu keseimbangan di dalam sebuah Kabinet yang menggabungkan parti yang umumnya mempunyai kepentingan berbeza.

Peluang

Sungguhpun begitu, pada hemat saya, dari satu sudut, “kerajaan perpaduan” dengan Kabinetnya yang rencam itu, membuka suatu ruang dan peluang baharu buat parti yang sebelum ini bermusuhan untuk saling berkerjasama, kena-mengenal dan membina sejarah bersama, ingatan bersama dan perjuangan bersama dalam usaha untuk membangunkan dan memajukan Malaysia.

Dua parti yang sering dianggap mewakili dua kutub ideologi yang berbeza, yakni Umno dan DAP, kini tergabung dalam satu wadah bersama yang berpotensi menghilangkan stereotaip, prejudis dan ketidakpercayaan yang wujud sebelum ini antara mereka. 

Saya percaya jalinan kerjasama dan kepercayaan yang dibina di tingkat kepimpinan berkemampuan untuk turut mengalir ke tingkat akar umbi jika ia dipupuk dan diterapkan dengan baik untuk melahirkan ikatan setiakawan yang merupakan unsur penting di dalam proses membina negara-bangsa Malaysia yang lebih harmoni dan sepadu.  

Namun harus diakui, yang sebaliknya juga boleh terjadi. Pengalaman pertama kali menjadi kerajaan bersama-sama boleh sahaja mengundang persengketaan yang akan menebalkan lagi prejudis, stereotaip dan ketidakpercayaan antara satu sama lain. 

Andai kata ini yang berlaku, “kerajaan perpaduan” mungkin pada akhirnya akan menjadi suatu eksperimen yang gagal dalam lipatan perjalanan sejarah kita sebagai sebuah bangsa.

Kendatipun begitu, saya percaya Anwar dengan pengalaman serta kemahiran realpolitik yang beliau miliki mampu untuk mencari suatu bentuk keseimbangan dan kesepaduan antara beliau dan Kabinetnya yang rencam itu. 

Pengalaman dan kemahiran realpolitik tentu sahaja tidak cukup untuk mengekalkan kestabilan Kabinet. 

Hubungan peribadi yang sudah lama terjalin, khususnya antara beliau dengan menteri-menteri daripada parti di luar Pakatan Harapan (PH), misalnya hubungan peribadi antara beliau dengan Ahmad Zahid Hamidi dan Zambry Abdul Kadir yang sudah pun terjalin sejak ketiga-tiga mereka dalam Abim lagi, turut sedikit sebanyak mempermudahkan beliau untuk mengolah kesepaduan antara beliau dengan Kabinetnya. 

Tawaran strategik (buat yang menawar dan ditawar) pasti juga turut mempengaruhi dinamika kestabilan dan kesepaduan Kabinet beliau yang rencam itu, misalnya tawaran untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 buat negeri-negeri Borneo, akan mendorong parti tempatan yang berkuasa di negeri tersebut, terus kekal bersama Kabinet “kerajaan perpaduan”.

Namun akhirnya pada hemat saya, pertimbangan untung-rugi politik yang dibuat oleh parti di luar PH yang turut membentuk “kerajaan perpaduan” hari ini, akan menjadi penentu utama kepada kelangsungan Kabinet “pilihan” Anwar itu. 

Selagi ia masih dinilai sebagai menguntungkan, parti di luar PH akan terus mendukung “kerajaan perpaduan” yang dipimpin oleh Anwar.

Namun andainya pada masa hadapan, terjadi perkara yang dinilai sebagai merugikan parti tersebut, maka tidak mustahil mereka akan menarik diri daripada Kabinet “kerajaan perpaduan” ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mengumumkan senarai Timbalan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan di Putrajaya malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Disember, 2022.

Rumit

Namun, walau serumit mana pun Anwar perlu menyepadukan Kabinet “pilihan” beliau yang rencam itu, pada pandangan saya ia tidaklah serumit usaha untuk menyepadukan hubungan antara beliau dengan para pegawai tinggi perkhidmatan awam Malaysia. 

Anggota Jemaah Menteri Kabinet berserta timbalan mereka hanya berjumlah 55 orang kesemuanya. Suatu jumlah yang agak kecil untuk diuruskan tapi tentunya tidak juga mudah disebabkan oleh alasan yang telah pun saya ungkapkan di atas.

Sedangkan jumlah keseluruhan anggota perkhidmatan awam Malaysia adalah sekitar 1.7 juta penjawat awam. 

Dalam birokrasi kerajaan yang berlapis-lapis, dengan kewujudan pelbagai kementerian, jabatan, agensi dan unit pelaksana serta penguatkuasaan lainnya, cabaran untuk menguruskannya jauh lebih rumit daripada Kabinet. 

Anwar tentunya tidak akan mampu menguruskan semua. Sebahagian besar akan diwakilkan kepada anggota-anggota jemaah menteri beliau.

Namun, hubungan antara beliau dan jemaah menteri dengan ribuan pegawai tinggi perkhidmatan awam – misalnya ketua setiausaha, ketua pengarah dan pegawai kanan – tentunya perlu diselaras dan disepadukan sebaik mungkin untuk memastikan keputusan dasar atau polisi yang dibuat oleh perdana menteri dan Kabinetnya dilaksanakan dengan lancar, licin serta berkesan.

Namun jumlah pegawai tinggi yang besar dengan lapisan-lapisan birokrasi yang kompleks, bukanlah satu-satunya cabaran yang perlu ditangani oleh Anwar.

Jauh lebih rumit adalah cabaran budaya dan kelaziman yang sudah tersulam di dalam perkhidmatan awam.

Terutamanya budaya dan kelaziman yang memungkinkan berlakunya ketidakcekapan, kelembapan, ketirisan, penyalahgunaan kuasa, korupsi, sogokan, sakau dan rasuah di dalam perkhidmatan awam. Ini tentunya tidak mudah untuk diselesaikan dalam tempoh yang singkat. 

Malahan perubahan yang cuba dilakukan oleh Anwar untuk mereformasikan perkhidmatan awam berkemungkinan akan mendapat tentangan pula daripada sebahagian penjawat awam yang sudah terbiasa dan selesa dengan budaya serta kelaziman yang sedia ada itu. 

Tidak mustahil juga akan ada penjawat awam yang merasakan peluang untuk mereka “menyakau” di lubuk mereka sendiri tergugat dan terganggu dengan perubahan yang cuba diterapkan oleh perdana menteri ke atas perkhidmatan awam.

Kenyataan pengarah kanan Bahagian Operasi Khas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini, yang menyingkap mengenai wujudnya sindiket dan kartel monopoli antara penjawat awam (yang turut membabitkan pegawai kanannya) dengan kontraktor swasta bagi menyeleweng wang daripada projek kerajaan, mungkin hanyalah hujung kecil apungan gunung ais.

Sebahagian lagi mungkin masih tersembunyi, belum terbongkar atau pun sudah dipadamkan jejak-jejaknya.  

Kendatipun begitu, mengubah budaya dan kelaziman sedia ada di dalam perkhidmatan awam tentunya memerlukan kaedah yang cermat, lunak, halus, terangkum dan strategik. 

Jika salah langkah, besar kemungkinan sabotaj dalaman boleh sahaja berlaku sehingga menggendalakan pelaksanaan keputusan dasar atau polisi yang dibuat oleh perdana menteri dan Kabinet beliau. 

Sesungguhnya beban yang digalas oleh Anwar cukup berat dan rumit.

Tiga komponen utama yang membentuk kerajaan – perdana menteri-Kabinet-perkhidmatan awam – terikat di dalam suatu hubungan simbiotik yang perlu ditemukan keserasian, keseimbangan dan kesepaduannya untuk memastikan kestabilan “kerajaan perpaduan” yang pertama kali wujud itu, terus kekal dan berpanjangan. 

Apakah beliau akan berhasil untuk mengemudi bahtera “kerajaan perpaduan” dengan baik dan lancar di lautan politik Malaysia yang penuh gelora, bergantung bukan hanya kepada kemahiran dan kecekapan realpolitik beliau tetapi juga sokongan, dukungan serta tekad politik (political will) setiap parti komponen untuk mengetepikan perbezaan yang wujud antara satu sama lain, dan berkerja berganding bahu demi Malaysia yang lebih stabil, maju dan bermartabat. – 10 Disember, 2022.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen