Politik kepartian halang penyatuan isu Palestin


Ruhan Shahrir

Seorang kanak-kanak yang cedera terkena serangan bom Israel menerima rawatan di Hospital Nasser di Khan Yunis yang terletak di selatan Semenanjung Gaza. – Gambar AFP, 26 Oktober, 2023.

ISU Palestin-Israel secara umumnya bukan sahaja membelah masyarakat Malaysia antara komuniti Muslim dan bukan Muslim tetapi juga antara sesama Muslim.

Kelihatannya terdapat kumpulan dan individu Muslim di Malaysia khususnya parti politik dan politikus Muslim, berlumba-lumba untuk menonjolkan diri sebagai yang “terpaling Palestin”!

Paling mutakhir adalah di persidangan Dewan Rakyat kelmarin. Wan Ahmad Fayhsal wakil Perikatan Nasional (PN) dalam sidang medianya mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didakwanya bersikap 50-50 dalam mengeluarkan kenyataan mengenai isu Palestin-Israel.

Wan Fayhsal mendakwa Anwar tidak cukup tegas dalam menyelar dan mengecam jenayah perang yang dilakukan oleh Israel dengan dibantu oleh sekutunya Amerika Syarikat.

Terdahulu sebelum itu, Wan Ahmad Fayhsal turut menyoal Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution apakah terdapat larangan untuk peserta bertakbir dan mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam perhimpunan solidariti kepada Palestin.

Perhimpunan yang dimaksudkan itu merujuk perhimpunan “Freedom For Palestine” anjuran Viva Palestina Malaysia dan MyCARE di Dataran Merdeka pada Ahad lepas.

Saifuddin menjawab larangan yang dikenakan oleh penganjur di dalam perhimpunan tersebut tidak mencerminkan pendirian kerajaan Persekutuan.

Malahan jika Wan Ahmad Fayhsal mahu bertakbir, Saifuddin dengan nada sinis menyarankan supaya beliau menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan di Stadium Axiata Bukit Jalil pada sebelah malamnya.

Malamnya di “Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin” bertempat di Stadium Axiata itu perdana menteri dalam pidatonya mengecam dengan nada yang garang bukan hanya terhadap kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin tetapi juga mengutuk keras negara-negara Barat khususnya Amerika Syarikat, Britain, German dan Perancis yang mendiamkan diri melihat pelanggaran hak asasi di lakukan oleh Israel kepada rakyat Palestin.

Pidato Anwar pada malam tersebut sekali gus menolak kritikan yang dilontarkan oleh Wan Ahmad Fayhsal terhadap beliau pada siangnya.

Bukan hanya Anwar yang menjadi sasaran kritikan, isteri beliau Wan Azizah turut dijadikan bidikan untuk ditembak (baca: difitnah) apabila foto beliau dalam suatu perjumpaan bersama isteri-isteri ketua negara yang turut disertai oleh isteri PM Israel sempena United Nation General Assembley (UNGA) disunting dan digambarkan sebagai menyokong Israel.

Pidato Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin malam semalam sekali gus menolak kritikan yang dilontarkan oleh Wan Ahmad Fayhsal terhadap beliau pada siangnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2023.

Manakala perbalahan antara penganjur perhimpunan “Freedom For Palestine” anjuran Viva Palestina Malaysia dan MyCARE dengan sebahagian daripada peserta perhimpunan telah digunakan oleh cytro-cytro politik, baik yang berbayar mahu pun tidak berbayar, untuk menggali biografi sejarah sosok penganjurnya (baca: Dr. Musa Nordin).

Daripada maklumat-maklumat yang digali itu naratif pun direkayasa untuk mengaitkan penganjur dengan parti politik dan sosok politikus yang menjadi sasaran untuk diserang.

Pihak yang diserang pula juga menerusi cytro politik mereka, berbayar atau tidak berbayar, membalas dengan mengemukakan sumbangan, kerja-kerja sukarelawan dan aktivisme pihak penganjur di dalam isu Palestin.

Masing-masing cuba mempamerkan keperibadian kumpulan masing-masing sebagai yang “terpaling anti-Israel” dan yang “terpaling pro-Palestin”.

Dalam bahasa kasarnya masing-masing pihak cenderung “menunggang” isu Palestin untuk kepentingan politik masing-masing bagi menunjukkan kepada khalayak awam bahawa dia dan parti dialah yang “terpaling Palestin”.

Apa yang saya ungkapkan di atas menunjukkan bahawa isu Palestin-Israel kini telah pun menjadi isu politik kepartian yang membelah masyarakat Malaysia antara penyokong PN-PAS dan PH-Umno.

Masing-masing kumpulan politik dan politikus mahu menjadi juaranya.

Masing-masing penyokongnya pula mendakwa bahawa parti merekalah yang “terpaling anti-Israel” dan “terpaling pro-Palestin”.

Peserta Himpunan Malaysia Bersama Palestin membanjiri Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil malam semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2023.

Palestin kini nampaknya menjadi komoditi yang cukup berharga yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan dan keuntungan politik parti masing-masing khususnya dalam meraih sokongan daripada pengundi-pengundi Melayu dan Muslim. Cukup menyedihkan.

Isu Palestin yang sepatutnya menyatukan semua pihak tanpa mengira kecenderungan politik kini terhalang dengan politik kepartian yang melampau.

Perhimpunan menyokong Palestin yang dianjurkan oleh pihak kerajaan cenderung tidak dihadiri oleh pemimpin dan penyokong pembangkang.

Manakala perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak pembangkang cenderung pula tidak dihadiri oleh pemimpin dan penyokong kerajaan.

Masing-masing perhimpunan kemudiannya akan diteliti oleh cytro politik masing-masing untuk disunting, diberikan naratif dan kemudiannya dimuat naikkan bagi menunjukkan bahawa partinyalah yang “terpaling Palestin” atau “terpaling anti-Israel”.

Cytro politik daripada pihak lawan juga akan turut meneliti perhimpunan-perhimpunan yang diadakan itu untuk mencari kelemahan serta kekurangannya dan kemudiannya ia akan disunting dan dipropagandakan di pelbagai platform media sosial bagi “menganjing”, mencari salah dan memperlekehkan perhimpunan anjuran parti lawan.

Pada akhirnya bukan sangat kepentingan rakyat Palestin yang menjadi tumpuan utama tetapi lebih kepada persaingan politik kepartian untuk memperlihatkan siapa yang “terpaling Palestin”.

Peserta Himpunan Malaysia Bersama Palestin membanjiri Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil malam semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2023.

Mungkin sudah sampai masanya untuk kumpulan-kumpulan yang lebih mandiri dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik untuk menganjurkan perhimpunan solidariti buat Palestin secara besar-besaran seperti mana yang terlihat di kota London, New York, Paris dan beberapa kota besar lainnya yang dibanjiri oleh ratusan ribu manusia di jalan-jalan raya mereka.

Kerjasama dengan parti-parti politik baik di pihak kerajaan mahu pun pembangkang dalam menggembeleng massa tentu saja perlu.

Kehadiran pemimpin-pemimpin parti politik dari pihak kerajaan dan pembangkang juga tidak perlu dihalang, malahan dijemput.

Begitu juga pemimpin-pemimpin masyarakat dari pelbagai etnik dan agama turut dipersilakan.

Ia adalah suatu perhimpunan untuk semua pihak bagi menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia tegas mengutuk kekejaman Israel dan sekutunya serta sentiasa teguh bersolidariti bersama Palestin.

Namun kepimpinan di panggung perhimpunan bukan dipandu oleh politikus atau parti politik tetapi kumpulan-kumpulan yang mandiri, prihatin dan peduli Palestin.

Mungkin dengan cara ini penyatuan masyarakat Malaysia dalam isu Palestin yang merentasi politik kepartian dapat dizahirkan.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. – 26 Oktober, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen