BEKAS ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram libatkan RM5.59 juta.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus semua pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pagi ini.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda minimum RM5 juta, jika sabit kesalahan.
Pada 21 Februari lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan termasuk menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa yang merupakan pakej rangsangan diperkenalkan kerajaan Perikatan Nasional untuk membantu kontraktor Bumiputera semasa pandemik Covid-19.
Berdasarkan pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta. – 25 Oktober, 2023.
Komen