Ke arah persaingan politik profesional


PROFESOR Dr Wong Chin Huat mencadangkan supaya parti politik di negara ini bersaing secara profesional.

Ini pandangan yang baik dan saya rasa negara kita memang sedang menuju ke arah persaingan politik berteraskan ideologi.

Jalannya mungkin masih jauh, tetapi kita sudah memulakan perjalanan ke arah yang disebut oleh Prof Wong.

Hari ini parti seperti DAP dan PKR merupakan parti-parti aliran kiri berpandukan demokrasi sosial dan sosialisme.

Manakala parti seperti Bersatu pula dalam aliran kanan berteraskan konservatisme prihatin.

Jadi rakyat boleh pilih mahu parti kiri dalam PH atau parti kanan bersama PN.

Sebab itulah kritikan daripada rakyat hari ini adalah mengenai kegagalan kerajaan menangani kos sara hidup, kenaikan harga barangan keperluan asas, ketidakcekapan pentadbiran, ketelusan agensi penyiasat dan pendakwaan serta lain-lain yang berkait dengan dasar dan kompetensi anggota pentadbiran.

Semuanya isu-isu dasar dan pentadbiran dan itulah budaya politik yang kita mahu.

Malangnya apabila kerajaan PH-BN tidak dapat menjawab isu-isu kompetensi ini, mereka mengalih tumpuan ramai dengan memainkan isu kaum dan agama kerana mahu tumpuan rakyat lari daripada kelemahan mereka.

Cuma janganlah pula ada pihak yang cuba melabelkan sistem nilai politik berteraskan agama, budaya dan adat sebagai perkara yang negatif.

Di berpuluh-puluh negara di seluruh dunia, tidak ada masalah jika sesebuah parti politik diinspirasikan oleh nilai-nilai agama dan budaya.

Cuba buat carian Internet untuk “Christian party” dan kita akan temui pelbagai parti termasuklah di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Belanda, Itali dan banyak lagi. Tidak salah untuk mengambil inspirasi dan panduan dari agama dan budaya.

Jadi janganlah semata-mata kerana kita tidak selesa dengan sesuatu agama atau budaya atau kita tidak beragama, kita berkempen fobia kepada agama atau budaya itu.

Menghalang penghayatan agama dan budaya, tidak kira agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau apa saja, itu sudah terkeluar daripada kerangka kebebasan demokrasi. – 9 September, 2023.

* Wan Saiful Wan Jan, ahli Parlimen Tasek Gelugor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen