Melihat Salleh Ben Joned mengamuk 


Faisal Tehrani

Pementasan teater The Amok of Mat Solo tulisan Salleh Ben Joned.– Gambar Faizal Tehrani, 24 Oktober, 2023.

MENONTON pementasan teater The Amok of Mat Solo tulisan Salleh Ben Joned membawa saya kepada beberapa kemusykilan, antara lain ialah adakah generasi muda yang hadir menyaksikan drama ini memahami rujukan-rujukan Salleh?

Ini kerana saya kesani audiens sama sekali kering dan kurang merespons pada babak atau bahagian yang amat provokatif, dan sinis.

Pementasan ini diarahkan oleh Syafiq Syazim satu usahasama Patlabs Creative dan Fakulti Teater Aswara dan baru sahaja berakhir minggu lalu.

Naskah drama The Amok of Mat Solo ini terbit dalam tahun 2011 dan sebetulnya terbina daripada puisi arwah, “The  Ballad of Mat Solo,” yang pertama kali terbit pada tahun 1987 dan kemudian muncul lagi dalam koleksi puisinya Poems Sacred and Profane.

Salleh sebetulnya terpesona dengan fenomena amuk orang Melayu dan sudah menulis draf-draf awal drama ini sehingga tahun 1980-an tetapi tidak pernah diterbitkan atau dipentaskan. Maka ini adalah pementasan pertama karya Salleh ini.

Percik-percik drama ini ada pada filem Amok oleh Adman Salleh.

Salah satu keberanian Salleh ialah mendobrak dan menghentam arus perdana, dan tatkala karya-karya di atas ditulis, sensor sedang menggila. Maka Salleh ingin menjadikan kenekadannya itu sebagai prinsip asas seni, yakni iltizam melawan sensor demi pembangunan sastera.

Dalam karya Salleh ini tiada romantika kisah orang kampung ala Shahnon Ahmad.

Menurut Salleh orang kampung khusus Melayu memang pun bodoh kerana terus memilih pemimpin yang bebal, sedang ahli politik Melayu memang jahat dan penuh kepuraan.

Ini diburukkan lagi dengan letak duduk ahli akademik Melayu yang sial dan celaka serta berlebihan dalam hal bumigeoise (borjuis Melayu), manakala wanita Melayu dijangkiti mentaliti “Pyrex”.  Orang kampung diberi nama-nama “Mat Hempap,” “Mat Lebih,” “Mat Tahu”  dan “Mat  Lekat,” yang menggambarkan rendahnya tahap intelektual Melayu desa.

The Amok of Mat Solo sebetulnya adalah mengenai ‘minda senget’ Dr Muhammad Awang bin Hitam, atau Mat Solo; yang sukar difahami oleh ahli keluarganya, dan masyarakat sekeliling.

Sukar dimengertikan, Mat Solo terbuang dari universiti dan pulang ke desa asal. Di hujung drama, Mat Solo akan mengamuk setelah mencarutkan Datuk Seri Muhamad Tuah, dan Profesor Dr Takdir al-Attas.

Ditulis dalam bahasa ‘manglish’ atau bahasa Inggeris Malaysia, naskah ini kebetulannya memang sukar dibaca. Membayangkan ia dipentaskan memang serasa mustahil.

Dari segi pementasan, pengarah memang berdepan dengan cabaran untuk menjinakkan awalan naskah yang memang meleret. Maka kemampuan pemeran utama iaitu Muhammad Ibrahim sangat diperlukan.

Mujur Ibrahim sebagai Mat Solo menggegarkan malah merupakan satu gempa bumi lakonan. Sejak dari awal Ibrahim separuh telanjang dan berlakon mencangkung menceritakan hal tahi. Ia berkembang dengan banyak lagi adegan beran(h)i.

Pada mulanya sebutan atau artikulasi pelakon-pelakon dengan bahasa Inggeris yang ’tidak netflix’ serasa mengganggu tetapi lama-kelamaan terbiasa kerana memang ia dapat merakam keinginan manglish yang dibina Salleh. 

Pun, pemain lain terasa tidak cukup penting dan matang kerana Muhammad Ibrahim memang menggerhanakan. Beliau ada masa depan cerah, dan saya sendiri ingin bekerja dengan beliau satu masa kelak.

Cumanya, ada banyak semangat zaman 1980-an yang sukar ditangkap khalayak. Fragmen drama tv Dallas, atau Fantasy Island, kemudian lagu Setia, rujukan terhadap Anwar Ibrahim dan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam, kemenyampahan terhadap era Ismail Hussein dan Syed Naquib al-Attas; sebetulnya semua itu sukar ditangkap.

Pada satu ketika jenaka Parsi mengenai orang mabuk membuatkan audiens terpinga sedangkan itulah bentuk jenaka Salleh waktu masih hidupnya. Rujukan terhadap Michelle Yeoh sangat tajam tetapi hanya mutu mengenal manikam.

Pementasan drama ini sebetulnya tidak terfikirkan. Ini kerana drama ini terhimpun segala macam profan dan satira daripada orang berak kepada onani sehinggalah hubungan seks, minum arak dan pesta muda-mudi, membawa kepada pemujaan feudalisme disalut nama dan terma Islam.

Agak mencengangkan melihat kejayaan produksi yang menjelmakan adegan melancap, dan hubungan seks secara penuh dramatik. Jika datang penonton yang ‘salah’ ada kemungkinan drama ini diganggu meskipun sudah ditandai untuk audien atas 18.

Apa pun, The Amok of Mat Solo mencipta sejarah sendiri kerana Salleh mendokumenkan kesetanan kecendekiawanan Melayu.

Salleh menyerlahkan dilema Melayu dengan identiti kebahasaan dan kekauman. Pun Salleh tidak saja menyoal Melayu Islam yang totok tetapi turut mengusik dan mengocak kaum liberal yang juga tetek terperangkap dalam persoalan identiti dan sosio budaya-politik yang menajis, ’bumijuiz Melayulayu’.

Niat Salleh mudah, mengarang dan mementaskan drama yang penuh kebalikan dari Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Untuk rekod, adegan paling mengesankan mungkin adalah deklamasi puisi Salleh yang dilakukan oleh Mat Solo dan pelakon lainnya. Ia merupakan katarsis yang memancutkan sensasi.

Dari aspek teknikal, drama ini cemerlang dengan bantuan tata cahaya yang spektakuler, bantuan audio dan teknologi masa kini yang mungkin tidak dapat dilakukan sepuluh dua puluh tahun lalu. Prop minimalis mudah gerak memberi kelicinan kepada pergerakan krew.

Saya percaya Salleh jika masih hidup tentu berpuas hati. Aswara dan Patlabs Creative melakukannya dengan jaya lagi bergaya.

Memang rugi jika tidak menontonnya kerana saya agak percaya ia takkan lepas dipentaskan lagi di era madani ini.– 24 Oktober, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen