PERUNTUKAN RM110 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf prasarana pasar awam menerusi Belanjawan 2024 menzahirkan keazaman berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan peniaga.
Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Bumiputera Pasar Siti Khadijah, Ahmad Nazri Che Omar, 54, berkata pasar yang bersih dan selamat bukan hanya memberi keselesaan kepada peniaga tetapi mampu menarik pengunjung dan meningkatkan urusan jual beli.
“Pasar bukan hanya lokasi yang wajib dikunjungi bagi mendapatkan barangan keperluan harian tetapi pasar yang cantik dan dilengkapi kemudahan baik mampu menarik pelancong.
“Pasar Siti Khadijah contohnya bukan hanya berfungsi sebagai premis jualan tetapi menjadi antara ikon pelancongan di Kelantan yang turut menjual pelbagai produk tempatan termasuk serunding dan kuih tradisional,” katanya di Kota Bharu hari ini.
Beliau berkata, proses transformasi pasar untuk menjadi daya tarikan pelancongan memerlukan penyelenggaraan yang teratur dan sistematik selain diurus dengan bijak.
Ahmad Nazri berkata, pengumuman peruntukan daripada kerajaan itu pastinya hal yang paling dinantikan semua peniaga dan pengurusan pasar.
“Kita harap peruntukan ini benar-benar memberi manfaat kepada pengurusan pasar dalam usaha mewujudkan pasar yang mempunyai kemudahan lengkap, bersih dan selamat untuk dikunjungi sekali gus menarik pengunjung dan merancakkan urusan jual beli,” katanya.
Menurut beliau, terdapat kira-kira 1,400 peniaga di Pasar Siti Khadijah yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk menjual barangan basah, makanan, kuih muih, barangan kemas, pakaian dan pelbagai produk tempatan lain.
Beliau berkata, setiap kali musim cuti sekolah atau cuti umum, pasar berkenaan menerima hampir 5,000 pengunjung sehari termasuk pelancong luar negara.
Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim berkata, terdapat tiga pasar utama di Kota Bharu yang mempunyai potensi besar penjanaan ekonomi rakyat yang perlukan penambahbaikan.
Beliau berkata, ia termasuk Pasar Siti Khadijah, Pasar Kubang Pasu dan Pasar Pohon Pinang yang memerlukan penyelenggaraan terutama dari segi kemudahan infrastruktur, pendawaian elektrik dan kebersihan.
Dr Hafidzah berkata, melalui lawatannya sebelum ini, tiga pasar berkenaan antara pasar lama yang harus dipulihara sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahu negara ini dikenali dengan kemudahan peniaga, gerai dan warung yang bersih, indah dan selamat. – Bernama, 21 Oktober, 2023.
Komen