Kematian akibat letupan di pasar Armenia meningkat kepada 16 orang


Letupan pada Ahad di pasar borong Surmalu turut mencederakan 60 orang selepas ia menyebabkan kebakaran selain meruntuhkan sebuah bangunan. – Gambar AFP, 16 Ogos, 2022.

JUMLAH kematian akibat letupan di pasar di ibu kota Armenia Yerevan meningkat kepada 16 orang, kata kementerian kecemasan Armenia pada Selasa.

Letupan pada Ahad di pasar borong Surmalu turut mencederakan 60 orang selepas ia menyebabkan kebakaran selain meruntuhkan sebuah bangunan.

“Enam belas mayat ditemui semasa usaha mencari dan menyelamat,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, menambah 18 orang masih hilang.

Pegawai berkata lebih 350 penyelamat terlibat.

Puncanya masih belum dapat dipastikan, namun laporan berita tempatan yang memetik saksi berkata letupan itu berlaku di tempat simpanan bunga api.

Pihak berkuasa tempatan telah menafikan kemungkinan ia adalah serangan pengganas malah pendakwa raya telah melancarkan siasatan ke atas pelanggaran “stok barangan mudah terbakar”, pelanggaran piawaian keselamatan kebakaran dan kematian orang “kerana kecuaian”.

Bencana itu berlaku ketika negara dengan tiga juta penduduk itu masih pulih akibat perang 2020 dengan Azerbaijan, yang berakhir dengan kekalahan teruk dan mencetuskan krisis politik.

Tidak lama selepas letupan pada Ahad, pegawai memindahkan orang ramai dari stesen metro Yerevan selepas ancaman bom, tetapi pihak berkuasa tidak menemui sebarang bahan letupan. – AFP, 16 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen